Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menjalani sebutan kes enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion dan sambung bicara 1Malaysia Development Berhad di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan amaran keras oleh Mahkamah Tinggi untuk tidak lagi membuat serangan terhadap Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Najib yang ketika ini sedang berhadapan dengan tuduhan menyeweleng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) RM2.3 bilion didakwa didakwa menyerang Zeti yang akan dipanggil sebagai saksi bagi kes tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan keputusan selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan bela selesai berhujah, memberi amaran supaya tidak membuat kenyataan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu.

Tegas Collin, kenyataan Najib bersamaan dengan serangan terhadap saksi pendakwaan dan sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Tertuduh (Najib) tak boleh buat kenyataan seolah-olah membuat perbicaraan di ruang awam.

“Tiada kenyataan boleh dikeluarkan berkenaan perbicaraan. Kenyataan tertuduh bersamaan dengan serangan terhadap saksi pendakwaan.

“Maka, mahkamah mengeluarkan amaran keras kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan itu demi menjaga kewibawaan perbicaraan,” katanya ketika prosiding 1MDB sebentar tadi.

Isnin lepas, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memberitahu mahkamah, Zeti merupakan salah seorang daripada saksi pendakwaan bagi kes berprofil tinggi ini.

Pada 29 Disember lepas, Najib dalam hantaran Facebooknya menyoal Zeti Aziz berhubung dakwaan blog MalaysiaToday kononnya keluarga Zeti suami dan anak telah menerima lebih RM100 juta.

Wang itu didakwa telah diberikan oleh ahli perniagaan dalam buruan Jho Low yang didakwa mendalangi skandal 1MDB.

Menurut portal itu, keluarga Zeti didakwa menandatangani akuan berkanun (SD) sekali gus mengaku menerima jutaan ringgit di bank Singapura, wang yang didakwa datang dari syarikat yang ada kaitan dengan Jho Low.

Najib mendesak Zeti menjawab segala dakwaan selepas mengeluarkan kenyataan pada Mei 2018 menyatakan beliau (Zeti) tidak tahu mengenai kewujudan dana atau transaksi di akaun bank Najib.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ini sedang menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pemahaman awam hanya Najib sahaja yang tidak boleh menyerang?

    Yang lain kalau ada fakta sahih boleh je? mereka2 ni bukan malaikat untuk tidak boleh dikritik atau bagaimana?

  2. Terbaikkk..
    Double Standard,
    yg bodoh semua teruskan jadi bodoh ye,
    mahkamah zaman abah cow kan telus,jujur,amanah,
    hahahhahahha…m

Comments are closed.