Gambar hiasan

KLANG – Sebuah rumah di Persiaran Seri Junjung, Pelabuhan Klang yang dijadikan setor kebal penyimpanan dadah berjaya dikesan dan digempur, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan itu dilaksanakan pada Selasa lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

Katanya , tindakan itu menyusul selepas tertangkapnya dua lelaki disyaki pengedar dadah di Telok Gong, Klang sekitar jam 2 petang pada hari yang sama.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemui dadah jenis heroin seberat 455 gram.

“Soal siasat lanjut ke atas mereka berjaya membawa polis kepada serbuan di rumah itu sebelum menemui dadah jenis heroin seberat 1.8 kilogram serta sepucuk pistol dan kelopak,” katanya dalam sidang media dekat sini.

Polis juga menyita sebuah kereta jenis Proton Wira dan harta berjumlah RM10,000 disyaki milik suspek.

Menurutnya, polis percaya keseluruhan dadah bernilai RM20,000 yang  disimpan di dalam setor berkenaan untuk edaran sekitar daerah tersebut.

Siasatan polis mendapati suspek bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak penghujung tahun 2019.

“Polis masih menyiasat bagi mengenal pasti dari mana sumber bekalan dadah tersebut diperoleh.

“Pihak polis juga sedang mengesan sama ada mereka terlibat dengan jenayah lain rentetan penemuan senjata api dengan kelopak.

“Kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 40 tahun itu kini direman sehingga 12 Januari ini untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” tegas beliau.-MalaysiaGazette