Dr Shamsul Anuar Nasarah

PUTRAJAYA – Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengunci mulut untuk memberikan komen beliau mengenai keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO semalam.

Biarpun diasak oleh pelbagai agensi media yang hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tetap tidak mahu berkata apa-apa berhubung isu berkenaan.

“Saya tahu media nak tanya apa, tapi saya tak mahu jawab.

“Tidak, tidak (akan jawab soalan berhubung isu UMNO tolak kerjasama dengan Bersatu), kenyataan sudah UMNO bagi semalam,” katanya ketika selepas merasmikan Program Save 2.0 di kementeriannya, hari ini.

Lebih 20 pengamal media dan wartawan menghadiri program yang dilancarkan oleh Shamsul Anuar semata-mata ingin mendapatkan respons beliau ketika menghadiri mesyuarat semalam.

Ditanya mengapa tiga usul yang disenaraikan oleh mesyuarat yang mengambil tempat di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) harus diputuskan di Perhimpunan Agong UMNO (PAU) penghujung bulan ini, Shamsul Anuar berkata, ia adalah peraturan yang termaktub dalam parti itu.

“Peraturan, itu peraturannya,” katanya ringkas.

Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam memutuskan bahawa parti itu menolak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dua lagi usul itu adalah kerjasama UMNO dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dipertahankan dan usul gesaan supaya PRU15 diadakan sebelum berakhirnya suku pertama tahun ini tertakluk kepada status Covid-19 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat.

UMNO menerusi Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan dalam satu kenyataan berkata, kesemua usul yang akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO menyentuh soal dasar dan pendekatan asas yang akan mempunyai kesan besar kepada masa depan parti dan negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Semoga umno lepas ni dikuburkan terus dr bumi Mlysia… Ada pon menyusahkan rakyat.. Korang kaya rakyat kedana

Comments are closed.