Gambar Hiasan.

AHAD, 3hb Januari 2021 merupakan tarikh terakhir untuk UMNO seluruh negara untuk menyelesaikan persidangan peringkat Bahagian selaras dengan kewaijpan yang ditulis di dalam perlembagaan Parti. Hampir 2/3 Bahagian di seluruh negara telah mengusulkan agar UMNO tidak bekerjasama dengan PPBM dalam PRU15 yang semakin menjelma.

Untuk pengetahuan orang bukan-ahli-parti di luar sana, usul yang sama dibentangkan di hampir semua mesyuarat Bahagian di seluruh negara ini bukanlah satu perkara yang dirancang oleh semua ahli UMNO. Tetapi keputusan yang kita lihat daripada hasil mesyuarat selama 3 hari lepas ini merupakan perkara yang jelas bermain di fikiran setiap akar umbi ahli UMNO iaitu: Kami tidak ingin bersama dengan PPBM selepas PRU15 nanti!

Akibat dari ini, soalan yang akan timbul daripada rakyat biasa dan orang ramai akan bertanya: Kenapa UMNO tak mahu bekerja dengan PPBM? Sah UMNO gila kuasa!

Oleh itu, saya membuat penulisan ini untuk cuba menjelaskan kepada orang ramai dan juga bukan ahli parti dinamik politik negara kita hari ini yang menyebabkan kepada usul yang dibentangkan di hampir seluruh negara tersebut.

Yang pertama: UMNO bukan punca kejatuhan kerajaan PH yang lepas. Umum maklum, kerajaan PH jatuh apabila PM Ke-7, Tun Dr Mahathir telah meletak jawatan. Tiada mana-mana ahli UMNO yang telah mengacukan pistol ke kepala Tun M menyuruh dia meletak jawatan, atau pun menculik ahli keluarga-nya. Tetapi Tun M sendiri secara sukarela telah meletak jawatan sebagai PM secara tiba-tiba, lalu menyebabkan kerajaan PH jatuh berderai.

Malahan UMNO tidak perlu membuat apa-apa untuk membuatkan kerajaan PH hancur. Hari ini, jelas kejatuhan PH adalah akibat pergaduhan antara Tun Dr M dan DS Anwar Ibrahim yang tidak henti-henti berbalah tentang kewajaran DSAI menjadi PM.

Oleh itu, sesiapa yang cuba menyalahkan UMNO atas kejatuhan kerajaan PH adalah seorang yang buta hati dan buta mata, malah patut malu kerana enggan melihat kelemahan yang berlaku adalah disebabkan oleh pergaduhan kuasa antara ahli-ahli PH sendiri.

Yang kedua: Setelah jelas UMNO bukan punca kejatuhan PH, maka apabila Tun Dr M meletak jawatan, UMNO telah mengusulkan kepada YDPA agar pilihan raya diadakan dengan segera supaya kerajaan yang baru dan stabil boleh dipilih. Ini kerana setelah rakyat memilih kerajaan PH pada PRU-14 yang lepas, maka kegagalan PH sendiri untuk kekal bersama dalam menjadi kerajaan sepatutnya diusuli dengan pilihan raya supaya rakyat boleh memilih lagi sekali.

Namun begitu, YDPA telah menolak cadangan yang diberikan oleh ahli UMNO/BN ini kerana risau dengan penularan wabak virus C-19 yang baru sahaja bermula pada masa itu. Maka demi menghormati permintaan YDPA tersebut, para pemimpin UMNO/BN akhirnya mengalah dan bersetuju untuk menyokong salah satu pihak yang bertelagah di dalam PH sebagai calon PM agar sebuah kerajaan boleh dibentuk.

Inilah satu pengorbanan besar yang dibuat oleh UMNO, sebagai sebuah parti yang memiliki ahli Parlimen teramai di dalam kerajaan yang dibentuk tersebut, bersetuju untuk mengangkat ahli Parlimen daripada satu parti yang kecil, PPBM, sebagai pemimpin. Keputusan matang yang dibuat tersebut untuk mengelakkan lebih lama perbalahan berlaku sesama pemimpin lalu menyebabkan ketiadaan kerajaan di kala terdapat musuh muncul di depan pintu negara.

Yang ketiga: Hari ini, keberadaan UMNO yang mengambil keputusan untuk mengalah telah digunakan oleh PPBM untuk memijak dan terus-menerus menikam UMNO. Orang ramai harus faham dan tahu, PPBM diwujudkan oleh mereka yang mengkhianati UMNO sebelum, semasa dan juga selepas PRU-14 yang lepas. Pada asalnya, mereka hanya mempunyai 12 kerusi Parlimen. Hari ini, bilangan tersebut telah bertambah sehingga 26 kerusi hasil daripada ahli parlimen yang melompat yang kebanyakkannya daripada UMNO sendiri.

Selama 22 bulan, ahli-ahli UMNO melihat dengan pedih apabila satu demi persatu ahli parlimen yang menang pada PRU14 lepas menggunakan duit,  jentera, dan peluh keringat ahli parti mengkhianati parti. Manakala satu demi satu ahli parlimen yang tinggal telah ditekan, dihina dan diugut. Ahli UMNO juga masih tidak lupa bagaimana kerajaan PH membekukan akaun berkenaan dengan parti agar ahli-ahlinya tidak boleh bergerak bekerja. Selama 22 bulan tersebut, hampir kesemua ahli-ahlinya bergerak menggunakan duit sendiri dalam melawan kerakusan kerajaan PH.

Maka UMNO dan PPBM sememang tidak boleh bekerjasama dalam satu-satu pakatan. Luka pengkhianatan yang belaku sememang sangat besar. Sudahlah ditikam, ditabur pula dengan garam apabila terdapat bekas-bekas pemimpin UMNO yang melompat ini memperlekeh dan menghina UMNO dengan kata-kata kejian.

Kemuncak pengkhiatanan ini adalah pada PRN Sabah yang lepas, apabila UMNO Sabah mengambil keputusan untuk cuba bekerjasama dengan PPBM. Hasilnya, PPBM dapat menandingi kerusi-kerusi kubu kuat UMNO yang mereka telah khianati selepas PRU14 lepas, manakala UMNO diberikan kawasan yang 50-50. Tidak habis di situ, terdengar pula kisah-kisah di mana PPBM menghantar calon bebas menggunakan dana parti tersebut untuk melawan calon parti BN/UMNO sendiri lalu menang. Inilah parti pengkhianat yang sememangnya tidak boleh dipercayai langsung.

Oleh itu di harap dengan penulisan ini, suka untuk saya ceritakan daripada pandang sisi seorang ahli UMNO yang hanya menyertainya ini setelah ianya kalah pada PRU-14 lepas, mengapa kerajaan Pakatan Nasional hanya sebuah kerajaan yang dibina demi mengalahkan Covid-19. Ianya memang tidak mampu, tidak layak dan tidak mungkin untuk terus bergerak dengan lama. Ianya bukan dibina dengan memenangi sebuah pilihan raya, tetapi demi menghormati permintaan Ketua Negara agar pilihan raya ditunda sementara dalam menghadapi krisis Covid-19.

Kerajaan PH yang dipilih oleh rakyat pada PRU-14 telah pun hancur kerana bergaduh sesama sendiri. Maka selayaknya rakyat diberi pilihan lagi sekali untuk memilih siapakah kerajaan yang layak memerintah. Bukan UMNO, bukan PPBM, dan juga bukan Pas.

Muhammad Haris Hamzah
Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, 
Cawangan Bulatan
Bahagian Johor Bahru

1 Komen

  1. Cerpen yang baik. Isi padat dan meyakinkan. Tp fakta tak tepat. Sbb tu layak jd cerpen.
    Lupa kah penulis, malam sebelum semua mengadap YDP, pemimpin UMNO berkumpul bersama pecahan pemimpin PH utk membentuk kerajaan? Penulis terlupa fakta yg Tun meletak jawatan HANYA setelah pemimpin pecahan PH dan BN mengadap YDP utk membentuk kerajaan campuran baru. Bukan sebaliknya.
    Utk cerpen di atas, cikgu kasi 100 markah.

Comments are closed.