Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Empangan Chenderoh di Perak berada dalam keadaan baik serta selamat, kata Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pelepasan air dari empangan tersebut dilakukan pada kadar terkawal bagi mengimbangi kadar kemasukan dan pelepasan air yang masuk dan keluar.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti berkata, pelepasan air terkawal di stesen hidroelektrik TNB itu perlu dilakukan kerana kenaikan paras berikutan hujan yang berterusan di kawasan tadahan yang luas.

“Sehingga hari ini, tiga empangan yang telah melepaskan air secara terkawal adalah stesen-stesen janaelektrik Sungai Perak antaranya Empangan Bersia, Kenering dan Chenderoh.

“TNB mengikuti prosedur sedi ada bagi memastikan paras selamat dapat dikekalkan disamping mengawal jumlah pelepasan yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, terdapat limpahan secara semula jadi di Empangan Kenyir ke Sungai Terengganu dan jumlah limpahan tersebut masih berada di bawah paras kapasiti sungai.

Manakala air di Empangan Pergau, Kelantan dan Temenggor di stesen-stesen Janaelektrik Sungai Perak masih di bawah paras pelepasan air.

Ujar Azman, TNB juga memberi jaminan kesemua empangan-empangan terbabit berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Kerjasama erat antara TNB dan pihak berkuasa tempatan serta agensi-agensi berkaitan telah memastikan proses pelepasan air secara terkawal di beberapa empangan-empangan hidroelektrik dilakukan demi keselamatan orang ramai.

“Pihak TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan latihan kecemasan di stesen–stesen hidroelektrik dan pejabat operasi bagi meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan operasi,” tambahnya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai pertanyaan atau aduan, boleh hubungi TNB CareLine di 15454. -MalaysiaGazette