Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Guru-guru dan pensyarah yang bertugas di Sabah dan Sarawak perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum pulang bertugas.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua guru-guru yang pulang ke Sabah perlu menjalani ujian saringan tiga hari sebelum pulang.

Manakala, bagi yang pulang ke Sarawak pula mereka perlu membuat ujian saringan sama ada sebelum pulang atau sewaktu tiba di pintu masuk negeri tersebut.

“Semua kos untuk saringan swab test akan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bagi yang pulang ke Sarawak juga mereka perlu menjalani kuarantin sejurus tiba di Sarawak, sama ada di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau mana-mana tempat yang ditetapkan oleh kerajaan Sarawak.

“Semua kos kuarantin akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya pada sidang media mengenai situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail sabri memaklumkan, seramai 277 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKP.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 276 telah dikenakan kompaun manakala seorang lagi direman.

Ismail sabri turut memberitahu, seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam Op Benteng dengan sembilan buah kenderaan turut dirampas.

Katanya lagi, memandangkan berlaku peningkatan kemasukan dan tangkapan PATI yang ketara dari tahun 2019 dan tahun lepas, kerajaan bersetuju untuk membina Pos Terapung bagi memperkukuh kawalan sempadan di Pulau Ketam.

Ujarnya, pada 2019 seramai 328 PATI telah ditangkap di Pulau Ketam dan sebanyak 21 rampasan dibuat dengan nilai RM2,344,573. – MalaysiaGazette