Antara rampasan daripada sindiket rokok seludup yang ditumpaskan dalam Op Asap. foto JKDNKA Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif agak lama di sekitar kawasan utara Semenanjung akhirnya tersungkur di tangan Polis Diraja Malaysia.

Kejayaan itu susulan tertangkapnya tiga suspek lelaki warga tempatan yang diserbu atas maklumat orang awam.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Komisioner Datuk Azri Ahmad berkata, serbuan dan tangkapan itu dilaksanakan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas menerusi Op Asap semalam.

“Dalam serbuan di dua kawasan berlainan di utara iaitu di Bukit Mertajam dan Nibong Tebal Pulau Pinang itu, sindiket rokok seludup yang kebal aktif di utara ditumpaskan.

“Tiga suspek lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 47 tahun berjaya ditahan manakala sebanyak 1,770,000 batang rokok pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai ditemui dan dirampas,” katanya dalam kenyataan kejayaan itu.

Empat buah van yang digunakan ketiga tiga suspek untuk penyeludupan rokok telah turut dirampas.

“Keseluruhan nilai rampasan rokok seludup dianggarkan RM1,369,000

“Kesemua suspek telah direman empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang mulai hari ini hingga 11 Januari ini.

“Siasatan diteruskan ke atas kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” tegasnya.-MalaysiaGazette