Adnan Mat

KUALA LUMPUR –  Kerajaan diminta mencari langkah proaktif yang mengimbangi kesihatan rakyat dan ekonomi negara dalam membendung peningkatan kes Covid1-19.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, situasi semasa akan memberi kesan tidak elok kepada kesihatan rakyat kerana jika kes meningkat, kadar kematian juga bertambah.

Menurutnya, petugas barisan hadapan juga mengalami tekanan tinggi disebabkan peningkatan kes setelah setahun berjuang tanpa henti.

Oleh itu, katanya, CUEPACS mencadangkan agar amalan norma baharu dalam kalangan masyarakat diperkasakan.

Ini kerana, CUEPACS melihat terdapat kelemahan dari segi pembudayaan normal baharu kepada masyarakat.

”Pada 8 Ogos 2020 YAB perdana menteri telah melancarkan kempen membudayaan normal baharu di Pagoh. Apa berlaku dengan kempen tersebut yang gah dirasmikan tetapi pelaksanaan di peringkat kampung, taman, mukim dan daerah tidak nampak keberkesanan.

“Peranan semua agensi amat penting dalam mengerakkan masyarakat dalam pembudayaan normal baharu dan tidak mengharapkan kepada KKM dan agensi penguatkuasaan semata-mata. Perkasakan Kawasan Rukun Tetangga, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, badan bukan kerajaan dan belia di setiap peringkat daripada daerah dan negeri,” katanya.

Selain itu, kerjasama daripada majikan dan pekerja amat penting kerana kebanyakan kes dan kluster berlaku ditempat kerja terutama sektor perkilangan.

Adnan berkata, Menteri Sumber Manusia telah mendedahkan bagaimana penempatan pekerja warga asing yang daif telah menyebabkan peningkatan kes dan kluster.

Oleh itu, katanya, isu ini perlu ditangani secara serius supaya jangkitan dari tempat kerja dapat dielakkan menjangkiti keluarga.

Langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula seperti bulan Mac 2020 perlu diputuskan dengan berhati-hati demi keseimbangan antara ekonomi negara dan kesihatan rakyat.

”Kerajaan difahamkan akan mengalami kerugian RM2 bilion sehari jika PKP diadakan semula. CUEPACS berpandangan untuk meredakan gelombang ketiga pandemik Covid-19 ini, tindakan seperti memperketatkan semula larangan pergerakan di kawasan zon merah.

”Bagi kawasan zon hijau pemerkasaan kepada pembudayaan normal baharu, bagi zon kuning, jingga pelaksanaan PKPP (Pemulihan) yang lebih baik dan kawasan ini perlu dijaga untuk elakkan kawasan menjadi zon merah,” ujarnya yang turut mahu kerajaan memperkasakan konsep bekerja daripada rumah (WFH) kepada semua sektor termasuk awam dan swasta.

Katanya, WFH terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan kerana dapat mengelakkan pertembungan atau interaksi orang ramai.

Bagaimanapun CUEPACS melihat pihak majikan di sektor swasta termasuk awam masih tidak mengendahkan saranan kerajaan mengenai pelaksanaan WFH.

CUEPACS juga berpandangan sudah tiba masanya KKM menjelaskan secara terperinci kes berlaku di setiap lokaliti kepada masyarakat mengikut taman atau kampung yang terlibat supaya semua pihak mengetahui kejadian di kawasan tersebut agar langkah pencegahan dapat dilakukan oleh masyarakat.

Dalam pada itu, CUEPACS meminta ahli-ahli politik berlapang dada dan bersatu bersama-sama dalam menangani Covid-19.

Katanya, peranan ahli politik sama ada pembangkang atau kerajaan amat penting agar setiap tindakan dilakukan diahkirnya akan memberi kebaikan kepada masyarakat. – MalaysiaGazette