Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi UMNO meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan pilihan raya sebelum April.

Walau bagaimanapun, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pula bertegas pilihan raya hanya boleh dijalankan selepas krisis Covid-19 berakhir.

Sinchew Daily melaporkan, UMNO dalam mesyuarat majlis tertingginya menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menguruskan isu banjir dan Covid-19 terlebih dahulu untuk mengurangkan beban rakyat.

Walau bagaimanapun, UMNO juga berpendapat bahawa pilihan raya awal merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ekonomi negara tidak mungkin baik tanpa didahului dengan kestabilan politik.

“UMNO pada masa yang sama tidak mahu didakwa sebagai parti yang menyebabkan keadaan wabak bertambah teruk.

“Oleh itu, kami meminta pilihan raya diadakan sebelum April untuk memulangkan semula kuasa kepada rakyat,” kata sumber UMNO kepada Sinchew Daily.

Sementara itu, Majlis Tertinggi UMNO dilaporkan tidak lagi berbincang mengenai soal jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana sebagai parti dengan kerusi terbanyak, UMNO sepatutnya menjadi “abang long” .

“Apabila kami sedar bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM pada Oktober tahun lalu, kami bertanya siapa yang menjadi PM.

“Kami diberitahu bahawa Anwar akan menjadi PM dan Ahmad Zahid sebagai timbalan.

“Saya membantah kerana presiden kami menjadi orang kedua dan ini tidak munasabah,” kata sumber itu.

Menurutnya lagi, daripada 191 bahagian UMNO yang ada, dua bahagian tidak layak dan tidak mengadakan mesyuarat.

Katanya, daripada 189 bahagian yang layak pula, lebih seratus bahagian mahu memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam pilihan raya akan datang.

“Kebanyakan bahagian meminta untuk memperkasakan Muafakat Nasional, meminta pilihan raya diadakan dan meminta untuk membantu mangsa banjir.

“Banyak bahagian tidak berpuas hati Bersatu mencuri wakil rakyat UMNO, tidak puas hati ahli-ahli yang bertukar-tukar parti dan tidak puas hati cara pengurusan wabak oleh kerajaan,” katanya.

Mengulas perkembangan yang sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri  Mohd. Redzuan Md. Yusof  berkata, partinya berpendirian bahawa pilihan raya hanya dijalankan selepas tamatnya krisis Covid-19.

Beliau berkata, mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak memfokus kepada hubungan dengan UMNO, walaupun isu pilihan raya telah disentuh.

“Mesyuarat kami adalah memfokus kepada keadaan wabak dan juga pembinaan masyarakat selepas banjir.

” Kami juga berbincang mengenai COVID-19 dan kami perlu bersedia menghadapi pilihan raya pada masa pasca-COVID,” katanya kepada Sinchew Daily. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Aku rasa bersatu kena lawan umno bukan berkawan. Umno memang rasa dia kuat dan betul walau pun pemimpin mereka menunggu untok masuk penjara masih juga taruh harapan. Dah tak ada orang lain yang boleh pimpin umno untok hidup tanpa rasuah dan salah guna kuasa. Masih kah ada rakyat yang buta pekak untok menilai parti mana yang mereka pilih

  2. Bila diberi peluang orang2 BerSHIT mengendalikan PRU Sabah, lain pula yang terjadi, mereka sama sekali telah gagal malah pilihanraya tersebut telah menjadi agen kepada penularan COVID-19 yang sudah tidak lagi terkawal sekarang.

    Ianya fakta, ianya bermula dari sana!

Comments are closed.