KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengerahkan kira-kira 5,000 anggota tentera yang digerakkan secara berperingkat untuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri terjejas dengan bencana itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain anggota, ATM juga menggerakkan asetnya seperti jentera berat, bot dan helikopter ke kawasan terjejas akibat banjir.
Kata beliau, peranan anggota tentera tidak hanya sebagai barisan hadapan menjaga keselamatan negara, malah turut berfungsi membantu rakyat semasa dalam kecemasan dan bencana.
“Anggota tentera mampu melaksanakan pelbagai tugas dalam masa serentak di seluruh negara sama ada di darat, udara dan laut.
“Ketika sebahagian anggota tentera menumpukan perhatian kepada ancaman keselamatan dari luar, sebahagian pula melakukan tugas Operasi Benteng mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) sepanjang ancaman Covid-19 dan sebahagian yang lain kini membantu mangsa banjir.
“Tanpa kesampingkan tugas hakiki mempertahankan negara dari ancaman musuh, anggota tentera sentiasa bersiap sedia untuk melakukan tugasan membantu mangsa bencana, termasuk banjir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang berada di Pahang meninjau kawasan banjir berkata, setiap kawasan di negara ini dibahagikan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) kepada pasukan yang berada di seluruh negara, dengan persiapan diadakan sepanjang masa untuk melaksanakan tugas pada bila-bila masa dalam apa jua keadaan.
Kata Ismail Sabri, pasukan yang dipertanggungjawabkan berdasarkan KTJ akan digerakkan sebaik sahaja keadaan memerlukan.
“Sebab itu, anggota tentera menjadi antara pasukan terawal berada di kawasan bencana dan melibatkan anggota berkepakaran dalam tugas mengendalikan kenderaan darat, air, semboyan, perubatan, sajian, elektrikal, ketukangan dan sebagainya.
“Mungkin ramai antara kita apabila melihat helikopter milik ATM menyangka dari pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebenarnya Tentera Darat (TD) juga mempunyai pasukan udara sendiri iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang diaturgerak bila-bila masa untuk membantu pasukan lain melaksanakan penugasan masing-masing.
“Kepakaran anggota ATM amat terserlah ketika bencana. Mereka bertugas dengan berkesan yang dirasakan sukar dilakukan pihak lain,” katanya.
Beliau memberi contoh, pada banjir 2014 melanda Kelantan, kepakaran Rejiman Askar Jurutera Diraja (RAJD) mendapat perhatian apabila mampu membina jambatan sementara merentasi Sungai Nenggiri, Pulau Setelu di Gua Musang dalam tempoh masa singkat.
Kata beliau, lebar Sungai Nenggiri melebihi 200 meter, tetapi mampu direntas dengan kepakaran RAJD dibantu rejimen dan kor berkaitan.
Bahkan, ujarnya, ketika bencana banjir 2020-2021 juga beberapa negeri turut dihantar pasukan khidmat kepakaran ATM, iaitu 50 anggota dari 91 Rejimen Bantuan RAJD untuk melakukan kerja pembinaan jambatan sementara jenis ‘Compact Bailey 200’ merentang Sungai Dong, Raub, Pahang.
“Pembinaan jambatan sementara ini diperlukan setelah jambatan asal runtuh akibat hakisan tebing Sungai Dong kesan laluan air yang laju.
“Jambatan ini menghubungkan jalan antara Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong dan bandar Raub.
“Penduduk terputus hubungan selama lima hari kerana jambatan tersebut adalah satu-satunya laluan terdekat yang ada. Laluan sedia ada mengambil jarak agak jauh,” jelas beliau. – MalaysiaGazette
















