KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup sebanyak 660 ekor burung murai keluar dari negara ini gagal dalam Op Benteng Briged Ketujuh Infantri Malaysia pada 8 Jan 2021.

Kejadian berlaku pada jam 2 pagi ketika anggota petugas Pos Pemerhati telah mengesan kehadiran sebuah bot pancung di pesisir pantai Kampung Simon sedang memindahkan barang dari daratan ke dalam bot.

” Pada jam 2.55 pagi, pasukan yang dikerah ke lokasi telah menemui 66 buah bakul yang berisi sekitar 660 ekor burung murai dianggarkan bernilai RM363,000 dipercayai cuba diseludup keluar,” kata Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) menerusi kenyataan.

Bgaimanapun penyeludup berkenaan berjaya melarikan diri.

Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 394,410.95 termasuk rampasan PATI berjumlah RM 26,410.95 melibatkan wang tunai pelbagai jenis matawang, telefon pintar, barangan kemas serta jam tangan pelbagai jenama dan kenderaan.

Dalam masa yang sama, seramai 23 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia cuba meninggalkan negara ditangkap dalam operasi itu ketika sedang berkumpul di sekitar kawasan Pantai Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor.

Mereka dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal.

“Pada jam 12.50 tengah malam, anggota petugas ronda telah mengesan PATI sedang berkumpul di sekitar kawasan Pantai Sungai Rengit, Kota Tinggi, Johor. Pada masa sama, anggota petugas Pos Pemerhati turut mengesan kehadiran sebuah bot pancung yang sedang berlegar di kawasan Pulau Che Kamat.

Seramai 23 PATI yang berjaya ditangkap terdiri daripada 21 lelaki dan 2 wanita berusia sekitar 23 hingga 52 tahun namun tekong darat tersebut gagal dikesan.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Manakala rampasan haiwan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Bandar Penawar.

Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.-MalaysiaGazette