Lim Guan Eng
 KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mencadangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat tergempar Parlimen dengan semua parti politik untuk membincangkan krisis kesihatan awam Covid-19.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, mesyuarat tersebut merupakan jalan terbaik untuk mengumpulkan sokongan rakyat dan menjalinkan perpaduan nasional demi membolehkan rakyat Malaysia bersatu mengatasi CovidD-19 bersama.
Menurutnya, PN adalah kerajaan yang sentiasa dalam keadaan krisis bertanggungjawab memburukkan lagi krisis sebenar kesihatan awam jangkitan Covid-19 yang meningkat dan tidak mampu menangani jangkaan kenaikan 8,000 kes setiap hari.
Setelah kehilangan majoriti parlimennya, para pemimpin PN lebih mementingkan fokus pada survival politik mereka sendiri berbanding survival negara daripada Covid-19.
Setiap hari kita melihat ahli parti komponen PN daripada UMNO, Bersatu dan Pas, mengadakan mesyuarat tergempar bukan untuk membincangkan Covid-19, tetapi bagaimana mereka dapat memperbaiki hubungan antara “sekutu” mereka dalam PN dan keadaan itu adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi para pemimpin UMNO untuk menuntut pilihan raya awal di tengah-tengah krisis terbesar dalam sejarah negara ini, ujar Guan Eng.
”Kegagalan kerajaan PN terbukti dalam kegagalan teruk mereka untuk mendapatkan penghantaran vaksin Covid-19 lebih awal.  Semalam kita menyaksikan Perdana Menteri Singapura menerima suntikan vaksinnya.
”Malaysia harus menunggu dua bulan lagi kerana ketidakcekapan kerajaan PN yang lebih fokus pada survival politik daripada kesihatan rakyat. Alasan untuk kelewatan bahawa Malaysia tidak dapat menyediakan sejumlah wang sebanyak RM2.1 bilion dalam krisis kecemasan, menunjukkan tahap kejahilan dan ketidakcekapan melampau menteri dan Kabinet kita. Berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang akan mati kerana kelewatan penghantaran vaksin?,” soal Guan Eng.
Rakyat Malaysia sudah muak dan letih dengan politik yang tidak henti-henti oleh PN dan mahu krisis politik yang berterusan dalam kerajaan berakhir.
”Adakah Tan Sri Muhyiddin akan terus berdiam diri dan tidak akan mengambil tanggungjawab atas kegagalan Kabinetnya, sedangkan dia pernah mengambil kredit kerana menguruskan krisis Covid-19 dengan baik?,” tanya Guan Eng lagi. – MalaysiaGazette