KUALA LUMPUR – Baru-baru ini tercetus pelbagai dakwaan negatif di media sosial tentang keadaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di MAEPS (MAEPS 2.0) yang menempatkan pesakit Covid-19 tanpa gejala dan pesakit gejala ringan.

Komen-komen negatif itu timbul selepas beberapa rakaman video tular menunjukkan sekitar pusat berkenaan yang ramai dengan pesakit.

Bagaimanapun, tanggapan negatif terhadap pusat kuarantin itu ditangkis oleh seorang pesakit Covid-19 bernama Afifie Chan.

Menerusi rantaian tweet beliau, Afifie berkata, situasi sebenar di dalam pusat tersebut tidak seperti yang digambarkan dan didakwa segelintir pihak sebelum ini.

Afifie dimasukkan ke PKRC itu sejak kelmarin selepas disahkan positif Covid-19.

Beliau yang memuat naik sesi soal jawapan daripada Insta Story di akaun Twitter berkongsi beberapa keping gambar dan video sebagai bukti menunjukkan pusat kuarantin tersebut dikendalikan dengan begitu baik sekali oleh KKM.

Katanya, pesakit-pesakit Covid-19 diberi tempat yang selesa dan bersih serta sekitar PKRC amat memuaskan.

“Keadaan di sini. Menakutkan ke? Tak pun. Selesa and bersih. Tengok la sendiri. Yang gantung-gantung kain putih kat katil tu sebab lampu on 24 jam. So silau. Haha.

“Keperluan asas, macam tandas. Ada 6 tandas kesemuanya dalam dewan ini. Setiap toilet ada lebih kurang 4-6 kubikel. Sehingga kini tidak pernah lagi beratur atau tunggu untuk masuk.

“Kipas ke aircond (penghawa dingin)? Tak seperti yang orang gambarkan. Kat sini pakai aircond (penghawa dingin) on 24 jam. Sejuk and selesa. Sakai jap tengok penghawa dinginnya. Haha” tulisnya.

Menurutnya, pesakit dalam kalangan warga asing dan tempatan tidak ditempatkan dalam satu dewan bagi memudahkan urusan pendaftaran, pemerhatian dan pengumuman.

Apa yang menariknya, makanan yang disediakan semua sedap.

Selain itu, para pesakit yang berada di pusat kuarantin saling bantu-membantu dalam mengagihkan makanan, tanpa terlalu mengharapkan petugas-petugas KKM.

“Alhamdulillah makan semua sedap. Macam mana mereka hidang? Makanan akan dihantar ke katil. Kami bantu antara satu sama lain. Because we are in this together. Ramai yang tolong petugas untuk agihkan makanan.

Bukan itu sahaja, tambah Afifie, petugas KKM mengendalikan pesakit dengan begitu berhemah dan menceriakan pesakit untuk memberikan motivasi.

Petugas dalam kalangan anggota polis dan RELA juga menjalankan tugas dengan cukup baik.

Afifie mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kakitangan kerajaan di pusat itu yang menitikberatkan kebajikan pesakit.

“Nurse (Jururawat) yang buat announcement pengumuan sangat sempoi dan suntik sedikit keceriaan dalam dewan. Lawak giler. Syima patut dinaikkan pangkat.

“Kebajikan kami memang diambil berat oleh KKM di sini. Jangan takut dan bimbang dengan keadaan di sini, kami sangat selesa. Tahniah kepada KKM dan yang terlibat seperti polis dan Rela. Terima kasih semua,” kata Afife lagi.

Untuk rekod, PKRC MAEPS 2.0 diaktifkan semula pada 9 Disember yang lalu berikutan berlaku peningkatan kes mendadak.

Kerajaan sebelum ini memberi jaminan aspek keselamatan di pusat ituakan dipertingkatkan oleh  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). MalaysiaGazette