Sriwijaya Air
JAKARTA – Pesawat Sriwijaya Air dengan 62 orang penumpang terputus hubungan selepas berlepas dari Jakarta.
Pasukan operasi dan menyelamat mengesyaki serpihan yang ditemui di pantai ada kaitan dengan pesawat berkenaan.
Pesawat Boeing 737-500 itu dalam perjalanan ke Pontianak di Kalimantan Barat, terputus hubungan sejurus selepas berlepas pada jam 2.30 petang.
Terdapat 56 orang penumpang termasuk 10 orang kanak-kanak, kata agensi mencari dan menyelamat, Basarnas.
Difahamkan pesawat berkenaan membawa enam orang anak kapal.
Jurucakap Basarnas berkata, pasukan mencari dan menyelamat mengesyaki serpihan di perairan utara Jakarta adalah dari pesawat tersebut.
Namun setakat ini belum ada pengesahan.
Syarikat penerbangan Sriwijaya Air pula memaklumkan sedang mengumpul maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan penuh.
Boeing pula memaklumkan pihaknya ambil maklum dengan laporan media dan memantau perkembangan secara rapat.
Media tempatan melaporkan beberapa nelayan menemui serpihan dan ada media turut menunjukkan serpihan berkenaan.
Turut ditemui seluar jeans, serpihan keluli di perairan.
Pesawat itu dikatakan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, ketika hujan.
Pesawat berkenaan sudah berusia 27 tahun. – MalaysiaGazette