Orang ramai untuk tidak terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah yang terdapat di dalam Internet kerana Kebanyakan produk itu dijual dari laman sesawang atau aplikasi tidak berdaftar di dalam negara.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan Garis Panduan Pembelian, Penggunaan dan Pemilikan Booster yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2020.

Garis panduan ini dibuat selepas SKMM mengesan peningkatan kes gangguan spektrum yang melibatkan penggunaan Booster atau Repeater Selular (CBR) yang tidak mematuhi piawaian.

CBR ialah alatan rangkaian mudah alih yang menambah kekuatan isyarat daripada stesen pemancar dan juga peranti mudah alih.

Bagaimanapun, penggunaan alatan CBR oleh orang ramai dan syarikat penyedia perkhidmatan secara berleluasa dan tidak teratur akan menyebabkan gangguan terhadap kualiti rangkaian selular dan jalur lebar mudah alih.

“SKMM ingin mengingatkan orang ramai agar tidak membeli sebarang alatan CBR daripada sumber tidak berdaftar, sebaliknya hanya mendapatkan alatan tersebut daripada syarikat penyedia perkhidmatan selular yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini.

‘Kegagalan mematuhi garis panduan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 atau Peraturan 16 di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknikal) 2000 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Jika menghadapi masalah liputan, orang ramai dinasihatkan untuk membuat aduan kepada syarikat penyedia perkhidmatan mereka melalui saluran rasmi yang disediakan.

Sekiranya masih tidak berpuas hati dengan penyelesaian oleh syarikat penyedia perkhidmatan, mereka boleh mengajukan aduan kepada SKMM. – MalaysiaGazette