Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengajak penyokong-penyokong di kawasannya supaya terus bermuafakat dan bersatu.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Wilayah Persekutuan itu dilihat cuba menenangkan penyokong-penyokongnya berhubung situasi yang dihadapinya di dalam parti ketika ini.

Katanya, beliau amat menghargai pengundi-pengundi yang telah memilih beliau sebagai wakil rakyat di Ketereh pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu meskipun ahli UMNO di kawasannya hanya berjumlah 13,000 namun, beliau memperoleh lebih 25,000 undi.

“Ambo (saya) percaya amanah di berikan bukan kerana ambo “orang lebih”, biso atau hebat sangat,tapi kerana adik kakak mahu adik kakak dibela,majukan kawasan kita,jaga kebajikan orang kampong kita,serta kita suka kepada perpaduan sesama kita bersama moto kita..Ketereh koridor Ketereh maju,” demikian posting beliau di laman sosial itu.

Menurut Annuar lagi, Barisan Nasional (BN) yang kalah pada PRU14 telah menyebabkan beliau menjadi pembangkang dan mahu penyokong-penyokongnya mengimbas kembali kesusahan yang dialami selama 22 bulan ekoran ketiadaan peruntukan untuk membantu rakyat.

Ujarnya, dengan berkat kesabaran, kini beliau kembali dalam kerajaan dengan kesepakatan menerusi Perikatan Nasional berteraskan pimpinan perpaduan Melayu Islam menggantikan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Sosialis DAP dan PKR liberal.

“Kawasan kita berubah berrjuta peruntukan baiki prasarana desa. Pembinaan baru masjid-masjid di sambung semula.MRSM ulul albab di lulus semula, Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai disambung semula,bantuan covid-19 dah pusingan ketiga untuk 15,000 keluarga, murid sekolah dibantu semula.Banyak lagi yang sedang kita usaha.

“Ambo merasakan saat banjir melanda,penularan covid-19 semakin bahaya, perpaduan Melayu makin renggang semula kita sepatutnya tidak terlalu main politi tapi bekerja untuk rakyat jelata. Tolong rakyat dan majukan Kelantan kita,” ujarnya.

Katanya lagi, tidak perlu untuk menunjukkan bisa dengan menggugat kerajaan yang telahpun dibina bersama.

Malah, beliau tidak fikir untuk bertindak kerana taksub kepada sesiapa sebaliknya, perlu menumpukan pembelaan kepada rakyat.

“Ambo tidak fikir kalau ambo jadi hero kearah perpecahan, ia bawa kebaikan kepada sesiapa. Dalam kawasan kita, ada Pas, ada PPBM dan berbilang bangsa. Lebih baik kita berbaik baik dari tak habis habis berbalah sesama kita.

“Mungkin cara ambo tak bisa, tak nampak berani untuk gomo sesama kita, tidak hebat dengan meletak jawatan dan gugat pemerintahan tapi ambo tetap berpegang, orang Islam apabila di uji dengan kuasa dan amanah di tangan, berpegang tegushlah kepada tali
Allah dan jangan bercerai berai.

“Kita juga diingatkan jangan ambil musuh yang nyata (harbi) untuk dijadikan teman yang dipercayai dengan meninggalkan teman sesama kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Lantik la Annuar Musa jadi TPM. Dia tu kan gila jawatan.

    Kita boleh tengok la nanti tarian dan nyanyian dia lepas jadi TPM.

    TOK JOGHO DIKIR BARAT tu

Comments are closed.