Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang mewakili UMNO dan pilihan raya umum belum reda.

China Press melaporkan, spekulasi terkini adalah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggalas tanggungjawab penting dalam memerangi COVID-19 akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dikhabar akan “dinaikkan pangkat” sebagai menteri kanan.

Seorang lagi menteri UMNO yang “mencuri tumpuan” kebelakangan ini, Tan Sri Annuar Musa pula dilaporkan kekal di Kementerian Wilayah Persekutuan, tetapi skop tanggungjawabnya akan diperluaskan.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bagaimana keadaan itu boleh berlaku, sama ada ia melibatkan penggabungan kementerian  dan rombakan tanggungjawab kementerian.

Menurut Akhabar itu, disebabkan kerajaan gabungan sedia ada “bekerjasama secara terpaksa” , maka banyak perubahan boleh berlaku terutamanya dengan perbalahan yang berlaku dalam UMNO.

Walaupun UMNO merupakan parti dengan kerusi parlimen paling banyak, tetapi parti itu tidak memegang apa-apa jawatan tertinggi dalam kerajaan  selain daripada Ismail Sabri yang merupakan menteri kanan.

Dalam perkembangan politik berkaitan, Sinchew Daily melaporkan, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sudah meminta Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk bersiap sedia dengan kemungkinan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum dijalankan secara serentak.

Abang Johari dilaporkan membunyikan “gendang perang” itu dalam satu mesyuarat membabitkan pemimpin tertinggi parti itu.

Menurut sumber, PBB perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum, selain pilihan raya negeri kerana keadaan politik negara dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kelihatan kurang stabil.

Dengan norma baharu dalam pilihan raya, Abang Johari mahu akar umbi PBB memanfaatkan teknologi untuk melakukan “kempen siber” dalam pilihan raya. – MalaysiaGazette