KUALA LUMPUR – Seorang wanita telah ditahan atas kesalahan memandu menyonsang arus di Lebuhraya Senai- Desaru di Johor dalam kejadian pada 7 Januari lalu.

Suspek tempatan berusia 46 tahun itu ditahan selepas tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Johor semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchey berkata, kejadian berlaku arah Desaru berhampiran susur keluar tol Cahaya Baru Khamis lalu berdasarkan rakaman video oleh tular dalam media sosial.

Katanya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor telah menerima satu rakaman video berdurasi 0.48 saat (rakaman Dashcamp) pada 9 Januari 2021 sekitar jam 12 tengahari.

“Penelitian mendapati video itu menunjukkan sebuah kereta memandu secara berbahaya dengan menyonsang arus (lawan arus) di Lebuhraya Senai-Desaru ( ke arah Desaru).

“Bertindak atas maklumat, JSPT Johor telah berjaya mengenalpasti butiran kereta itu dan kejadian itu dirakam orang awam dipercayai berlaku pada 7 Januari jam 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rentetan itu tambah beliau, suspek seorang wanita berusia tempatan berusia 46 tahun disyaki pemandu kenderaan yang lawan arus itu telah hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seri Alam.

Suspek terus ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan bersalah boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu maksimum lima tahun.

“Polis Johor memandang serius perkara ni dan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang.

“Polis juga akan memastikan siasatan akan dijalankan dengan telus dan tindakan pertuduhan di mahkamah atas kecuaian suspek yang mana dengan jelas boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Polis merakamkan jutaan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dalam membantu pihak polis mengesan sehingga tertangkapnya suspek,” tegasnya.-MalaysiaGazette