khairuddin aman razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

BANGI – Selepas mengeluarkan kenyataan bahawa isu buruh paksa dan kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara adalah terpencil, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali pula berkata, ia sesuatu yang perlu dipandang serius.

Jelasnya, langkah itu perlu kerana industri kelapa sawit yang merupakan salah satu industri utama negara sering kali menghadapi tuduhan berkaitan masalah buruh paksa.

“Tuduhan ini perlu dipandang serius kerana ia akan memberi kesan yang besar kepada industri.

“Kami (kerajaan PN) benar-benar kecewa dan sedih dengan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat.

“Namun, kami percaya bahawa tuduhan kerja paksa dan pekerja kanak-kanak tidak signifikan dan kes terpencil. Walaupun begitu, kami akan berusaha untuk meningkatkan persepsi negatif terhadap industri ini,” katanya selepas merasmikan Palm Oil Economic Review and Outlook Virtual Conference 2021 di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), hari ini.

Dalam pada itu, kementerian dan MPOB telah mengadakan beberapa program kesedaran bagi memfokuskan berapa pentingya amalan kerja yang baik.

Ia termasuk kerjasama dengan syarikat perladangan tentang pentingnya kepatuhan kepada undang-undang dan peratusan sedia ada.

“Untuk tahun ini, kementerian dan MPOB akan memperhebatkan lagi siri jelajah yang akan meliputi Sabah dan Sarawak untuk menjangkau lebih ramai peserta dari kedua-dua wilayah,” katanya.

Pada penghujung Disember lalu, Khairuddin berkata, berdasarkan kajian pada 2018, kes buruh paksa kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara amat terpencil.

Malah, Malaysia kesal dengan tindakan drastik Amerika Syarikat yang menyekat kemasukan minyak sawit negara susulan dakwaan penggunaan buruh paksa.

Pada 30 Disember lalu, CBP Amerika Syarikat menyekat pengimportan minyak sawit dan semua produk sawit yang dikeluarkan SDP, susulan siasatan badan itu yang mendakwa berlaku amalan buruh paksa di syarikat tersebut.

Sebelum ini, tindakan sama diambil ke atas FGV Holdings Bhd atas dakwaan sama, tetapi disangkal syarikat berkenaan. – MalaysiaGazette