Vaksin Pfizer-BioNTech

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mewakili Kerajaan Malaysia telah menandatangani Perjanjian Bekalan dan Pengeluaran (MSA) bagi pembekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech BNT1262b hari ini.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. melibatkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung bulan Februari 2021 meliputi 20% populasi penduduk Malaysia dengan dua dos seorang.

Perjanjian yang dimeterai pada hari ini adalah untuk fasa pertama dengan penghantaran vaksin ke seluruh Malaysia.

Majlis menandatangani perjanjian berkenaan telah dimeterai oleh Datuk Seri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia bagi pihak Kerajaan Malaysia manakala pihak Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengurus Negara Malaysia Brunei, Luksanawan secara virtual di Pejabat Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

Kerajaan juga bersetuju untuk membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos yang menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos meliputi 39% populasi penduduk Malaysia dan akan diterima sepanjang tahun 2021. – MalaysiaGazette