Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz beramah mesra dengan mangsa banjir di Raub, Pahang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 90 keluarga melibatkan 322 orang mangsa banjir di Raub, Pahang menerima bantuan Misi Bantuan Prihatin baru-baru ini.

Program tanggungjawab sosial itu anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sumbangan itu bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Gali Hilir.

“Keseluruhannya, 90 keluarga melibatkan 322 orang mangsa banjir dari kawasan berhampiran menerima sumbangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, misi yang sama turut dihadiri Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Raub, Pahang baru-baru ini.

Selain itu, ia juga dihadiri Ketua Penolong Pegawai Daerah Raub, Khairul Fahmi Yusuf dan Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar.

“Antara bantuan yang diberikan kepada setiap keluarga adalah sumbangan kewangan, makanan dan minuman serta barangan kelengkapan asas seperti pakaian, tuala dan kain sejadah,” katanya lagi.

Misi Bantuan Prihatin dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Raub ini juga melibatkan sekurangkurangnya 35 orang sukarelawan daripada kalangan anggota PERKESO dari ibu pejabat dan cawangan Pejabat PERKESO
di seluruh negeri Pahang.

Sehingga 9 Januari lalu, Pahang merekodkan seramai 26,236 mangsa banjir daripada 7,187 keluarga yang telah ditempatkan di 292 PPS di sembilan daerah.

Bagi Raub sahaja, sebanyak 51 PPS telah dibuka yang menempatkan seramai 1,998 mangsa melibatkan 529 keluarga.

“KSM berharap sumbangan yang dihulurkan ini dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan penduduk yang terjejas akibat bencana banjir dan membantu mereka kembali kepada kehidupan seperti sedia kala dengan segera,” kata Saravanan.- MalaysiaGazette