Antara barang kes jenayah pecah kereta dan curi yang dirmpas dari dua suspek lelaki tempatan yang mengaku terlibat jenayah berkenaan di di RNR Jejantas Sungai Buloh PLUS arah Utara yang akhirnya ditumpaskan Polis Petaling Jaya pada Ahad semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua individu yang aktif memecah cermin kereta dan mencuri di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Sungai Buloh, Lebuh Raya Utara Selatan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, anggota polis dari Balai Polis Kota Damansara yang menerima laporan daripada anggota Task Force Kota Damansara pada jam 7.25 pagi membuat risikan dan terserempak dengan dua lelaki suspek.

“Kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi merah telah bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan polis dengan cara melawan arus secara merbahaya di jalan raya menuju utara.

“Dalam kejadian tersebut, suspek telah mengumpil bahagian bonet dan pintu kenderaan di hentian R&R Jejantas Sungai Buloh arah Utara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, antara barangan yang hilang adalah wang tunai RM300 dan beberapa dokumen peribadi milik mangsa,” katanya dalam kenyataan media kejayaan hari ini.

Tambah beliau, mangsa merupakan seorang wanita tempatan telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara pada hari yang sama.

Menurut Nik Ezanee bertindak atas maklumat laporan polis mangsa, pada jam 6.50 petang hari yang sama sepasukan polis IPD Petaling Jaya berjaya menahan kedua-dua suspek berusia 25 dan 31 tahun.

“Semakan lanjut mendapati suspek berusia 31 tahun itu mempunyai 13 rekod lampau jenayah, enam kes dadah dan satu rekod dikehendaki bersabit dadah di Bandar Baru Salak Tinggi mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala suspek berusia 25 tahun itu turut mempunyai empat rekod kes dadah dan pemeriksaan lanjut dalam kereta mereka merampas pelbagai barangan disyaki digunakan dalam kegiatan pecah cermin kereta dan barangan hasil kegiatan jenayah itu,” katanya.

Kata beliau, kedua-dua suspek turut mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan mengaku beberapa kali melakukan jenayah pecah cermin kereta di kawasan Hentian R&R Jejantas Sungai Buloh.

“Kedua-dua suspek direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, polis PJ percaya dapat menyelesaikan sebanyak 15 kes pecah cermin kereta di hentian R&R Jejantas Sungai Buloh Lebuhraya Utara Selatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette