Kecederaan yang dialami oleh seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didera oleh pasangan suami isteri di Jinjang, Kepong semalam 24 November 2020. foto PDRM

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri tempatan yang pernah ditahan pada November lalu atas kesalahan mendera dan mendatangkan kecederaan teruk terhadap pembantu rumah warga Indonesia dengan menggunakan gunting dan periuk akan dituduh di mahkamah Jalan Duta, di sini pada Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kedua-dua suspek berusia 42 tahun itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen untuk pendakwaan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, polis telah melengkapkan kertas siasatan dan merujuk ke Ketua Bahagian Pendakwaan Putrajaya.

“Ketua Bahagian Pendakwaan Putrajaya setelah meneliti laporan kes siasatan kami telah memberi arahan untuk menuduh pasangan suami isteri itu.

“Suspek wanita akan didakwa dalam lima pertuduhan di mahkamah iaitu dua pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran ATIPSOM 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala suspek lelaki akan didakwa satu pertuduhan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007, ujarnya.

“Jika disabitkan dengan kesalahan tersebut, boleh membawa hukuman penjara. Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta pada 13 Januari 2021,” katanya.

Jelas beliau, kedua-dua suspek ditahan polis di rumah mereka pada jam 11 pagi 24 November lalu oleh pasukan Bahagian D3 ATIPSOM Bukit Aman menerusi serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Batu, ibu negara.

Hasil serbuan, katanya, polis telah menahan pasangan suami isteri itu dan merampas beberapa alat yang dipercayai
digunakan suspek untuk mendera mangsa.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 13 Atipsom 2007, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek telah direman selama 10 hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk membantu siasatan sementara mangsa telah diselamatkan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan dan pemulihan serta diberikan pelindungan selepas mendapat IPO (Interim Protection Order) atau Perintah Perlindungan Sementara dari Mahkamah.

“Polis Sentul menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan cara menghubungi Hotline Polis Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran.,” katanyanya.

Pembantu rumah cedera teruk didera