Kecederaan yang dialami oleh seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didera oleh pasangan suami isteri di Jinjang, Kepong semalam 24 November 2020. foto PDRM

KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati dengan prestasi kerja di rumah, sepasang suami isteri warga tempatan bertindak  mendera pembantu rumahnya sehingga cedera teruk seluruh badan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sepasukan polis dari Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman telah menyerbu rumah pasangan suami isteri itu di Taman Batu Jinjang, Kepong kira-kira jam 3 petang semalam selepas mendapat laporan awal.

Laporan itu diterima daripada orang awam pada jam 11 pagi.

Hasil daripada serbuan itu, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun, yang mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dipercayai akibat didera.

“Hasilnya, kami berjaya menahan seorang lelaki bersama isterinya berusia 42 dan 41 tahun dan direman selama lima hari sehingga 29 November ini untuk tindakan lanjut.

“Kita turut merampas sebilah pisau, gunting, kerusi serta periuk yang dipercayai digunakan oleh pasangan itu sebagai senjata  untuk mendera mangsa,” katanya ketika ditemui di Kepong hari ini.

Tambah Eng Lai, siasatan awal polis mendapati mangsa menetap dan bekerja sebagai pembantu rumah di rumah suspek sejak 13 bulan lalu.

Hasil siasatan, kedua-dua suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan prestasi kerja pembantu rumahnya, menjadi punca mangsa didera teruk.

Selain didera dan dicederakan, pekerja malang itu tidak dibayar gaji bulanannya.

“Wanita itu telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 44 ATIPSOM 2007,” ujar beliau.- MalaysiaGazette