Donald Trump.

WASHINGTON – Kongres Demokrat memulakan proses pemecatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi kali kedua, selepas beliau didapati ‘menghasut pemberontakan’ susulan serangan yang dilakukan penyokongnya di Capitol.

Langkah tersebut akan menyukarkan cita-cita politik Trump pada masa depan sekali gus menunjukkan kemuncak kontroversi pentadbirannya sebagai Presiden selama empat tahun, menjelang pelantikan Joe Biden, pada 20 Januari ini.

Demokrat mencadangkan resolusi kepada Dewan Perwakilan dengan meminta Naib Presiden AS, Mike Pence dan Kabinet memecat Trump mengikut pindaan ke-25 Perlembagaan AS.

Namun, Republikan segera menyekat pungutan suara terhadap resolusi itu dan Demokrat kemudian memperkenalkan cadangan pemecatan Trump kerana ‘menghasut pemberontakan’.

Ahli Kongres, David Cicilline berkata, ini adalah percubaan kudeta bagi menggulingkan kerajaan dan pihaknya mempunyai  tanggungjawab untuk memberi maklum balas terhadapnya.

“Kita mempunyai tanggungjawab tertentu bagi memastikan semua pihak terbabit bertanggungjawab sepenuhnya, daripada presiden hingga ke bawah,” tambah beliau yang memperkenalkan resolusi itu.

Trump banyak berdiam sejak beberapa hari lalu dan hanya membuat beberapa kenyataan selain tidak mengadakan sidang media.

Laman Twitter telah melarang beliau menggunakan bahasa yang mampu menimbulkan keganasan. – MalaysiaGazette