Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin merupakan anggota Kabinet terbaharu YANG disahkan positif jangkitan Covid-19 hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu telah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam, kata kenyataan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

“Susulan saringan tersebut, pihak Kementerian Kesihatan telah memaklumkan pada awal pagi tadi bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin disahkan positif Covid-19.

“Oleh yang demikian, Hamzah Zainudin akan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh pihak Kementerian Kesihatan,” kata kenyataan itu.

Ujar kenyataan itu, sepanjang tempoh rawatan dan kuarantin, Ahli Parlimen Larut itu akan terus memantau dan memastikan segala urusan kementerian berjalan dengan lancar dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, semua kontak rapat beliau bermula 8 Januari sehingga 11 Januari lalu diminta ke pusat saringan Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk melakukan saringan Covid-19.

“Hamzah Zainudin yang juga Setiausaha Agung Bersatu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kesembuhan kepada beliau dan
memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul atas perkembangan ini,” katanya. – MalaysiaGazette