Jamal Md Yunos
Jamal Md. Yunos

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) akan berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusof membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Jamal untuk menangguhkan prosiding kes tersebut sementara menunggu rayuan berhubung permohonannya bagi membatalkan saman Yeo.

Peguam Datuk Sankara N. Nair, yang mewakili Yeo, berkata Rozana ketika mengumumkan keputusan itu dalam kamar hari ini turut mengarahkan Jamal membayar RM1,000 sebagai kos kepada anak guamnya.

“Susulan penolakan permohonan untuk penangguhan hari ini, perbicaraan penuh kes akan berlangsung di Mahkamah Tinggi pada 2 dan 4 Mac serta 12 dan 13 April,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Jamal diwakili peguam V. Mugunthan dan Mohammad Nasser Yusof.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Rozana menolak permohonan Jamal bagi membatalkan saman itu dan mengarahkan beliau membayar RM2,000 sebagai kos.

Jamal memfailkan permohonan bagi membatalkan saman itu pada Jun tahun lepas atas alasan ia adalah pramatang kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia masih berlangsung.

Yeo memfailkan saman itu pada 14 Jun 2017 menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta daripada Jamal atas kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah berhubung isu penyelewengan dana Yawas.

Penyataan tuntutan Yeo, yang juga Ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan itu pada 21 Mac 2017 dan diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita serta akaun Facebook defendan.

Yeo mendakwa kenyataan itu, antara lain memberi tanggapan bahawa beliau telah menyalahgunakan dana awam serta menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, Yeo memohon ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaan itu.

— BERNAMA