Gambar hiasan
PANDAI 'temberang' bukan perencah utama untuk menjamin kebahagiaan di dalam rumah tangga. Khasnya buat suami yang mengamalkan poligami, kejujuran merupakan aspek penting dalam menjalankan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak sebagai amanah yang akan dipersoalkan di Akhirat kelak. Tidak seindah lagu P. Ramli yang bertajuk 'madu tiga', kebijaksanaan untuk 'temberang' hanya memberi impak besar yang boleh merobohkan sesebuah institusi kekeluargaan.
Baru-baru ini, sindiket poligami telah mendapat perhatian awam apabila terdapat beberapa aduan yang melibatkan pemalsuan dan penyelewengan dokumen untuk permohonan poligami. Tidak dinafikan bahawa poligami adalah halal dan dibenarkan
syarak, tetapi amalan penipuan atau pemalsuan adalah tidak 'halal' di dalam Islam danjuga undang-undang.
Berdasarkan Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, poligami dibenarkan dengan syarat suami perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ia telah diperuntukkan dalam seksyen 23(1) Akta Undang-Undang Keluarga
Islam (AUKI – Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Menurut seksyen 23(3) AUKI 1984, permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada mahkamah mengikut cara ditetapkan dan hendaklah disertai suatu akuan.
Akuan tersebut perlu mengandungi alasan mengapa perkahwinan poligami itu patut dan perlu, keadaan kewangan suami dengan menyediakan butiran komitmen, kewajipan dan tanggungan kewangan yang patut ditentukan serta bilangan tanggungan termasuk
orang yang akan ditanggungnya berikutan perkahwinan baru yang dicadangkan itu. Pemohon juga perlu menyatakan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri diperoleh mengenai perkara berkenaan.
Syarat-syarat yang termaktub dalam undang-undang ini tidak bertujuan untuk mengharamkan amalan poligami, tetapi ia bertujuan untuk mengawal amalan poligami daripada disalahgunakan dan menghindari daripada berlakunya masalah yang kebiasaannya berlaku kepada isteri dan anak-anak. Secara tidak langsung, syarat-syarat tersebut juga menjadi peringatan akan kepentingan adil dalam hidup berpoligami. Di dalam al-Quran telah dinyatakan dengan tegas betapa pentingnya keadilan untuk mengamalkan poligami. Firman Allah dalam Surah al-Nisa, ayat 3: "Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bila mana kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau
empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.
Walaupun demikian, syarat-syarat yang dikenakan telah dianggap merumitkan proses permohonan poligami, sehingga ramai yang membuat keputusan untuk bernikah di Negara jiran yang mempunyai syarat yang lebih mudah. Bagi mereka yang masih ingin
bernikah dan berpoligami di Negara sendiri, proses mudah yang diambil adalah dengan melakukan pemalsuan dokumen. Antara contoh dokumen yang dipalsukan adalah nama dan alamat pemastautin, tandatangan, pandangan isteri pertama dan lain-lain
seperti yang terdapat di dalam aduan.
Pemalsuan inilah yang dikatakan sebagai sindiket poligami yang kemungkinan besar telah lama diamalkan, tetapi didiamkan sekian lama kerana ia tidak melibatkan sebuah pihak sahaja tetapi melibatkan beberapa pihak yang ramai. Sindiket ini perlu dibanteras kerana proses memanipulasi dalam permohonan untuk berpoligami boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah, malah memberi imej negatif terhadap konsep poligami itu sendiri.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dilaporkan tidak menolak kemungkinan sindiket poligami dilakukan oleh pemohon, ejen luar yang menawarkan khidmat pernikahan sindiket, Peguam Syarie atau kakitangan mahkamah sendiri. Bahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menegaskan penipuan ini walau dilakukan oleh sesiapapun adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Kesan psikologi terhadap anak-anak yang terpaksa menerima hakikat bahawa orang yang mereka percayai telah melakukan pemalsuan dalam membina keluarga baru, juga amat besar. Pengkhianatan kepercayaan ini, oleh insan yang diberi tanggungjawab untuk membentuk integriti anak-anak, amat besar impaknya. Pengkhianatan kepercayaan oleh institusi yang diberi amanah untuk melindungi wanita juga turut mencemar nama institusi tersebut. Mana-mana kakitangan yang telah dikenalpasti terlibat, harus di ambil tindakan agar maruah agama Islam tidak tercemar.
Begitu juga sindiket poligami turut sebenarnya memangsakan wanita yang menjadi isteri kedua melalui penipuan. Mereka terdedah kepada risiko kesahihan status pernikahan, pendaftaran kelahiran anak, nasab anak dan tuntutan isteri sekiranya berlaku perceraian. Perkahwinan sindiket juga terdedah kepada beberapa pertuduhan iaitu bernikah tanpa kebenaran, menggunakan jurunikah tidak bertauliah, wali tidak sah dan gagal mendaftarkan perkahwinan. Sebagai pertahanan kendiri, setiap wanita yang dipujuk untuk berpoligami secara rahsia harus menyedari bahawa perkahwinan yang mana muqaddimahnya adalah penipuan, akan memungkinkan lebih banyak penipuan berlaku  dalam rumahtangga.
Hakikat untuk berpoligami bukan sekadar bagi menghalalkan sesebuah hubungan, kerana ia merupakan konsep yang sangat luas seperti mana yang dipraktikkan dalam kehidupan poligami Rasulullah SAW. Ini adalah kerana tujuan baginda berpoligami
adalah disebabkan pelbagai faktor termasuklah yang berhubung kait dengan aspek sosial, politik, dakwah dan kebajikan.
Di dalam poligami mahupun monogomi, kejujuran adalah teras, dan keadilan adalah tapak untuk memastikan bahawa keluarga yang dibina kukuh dan bahagia. Tiada kebahagiaan yang akan terjamin dengan berasaskan penipuan dan pembohongan yang
akhirnya hanya akan meruntuhkan sesebuah institusi kekeluargaan. Justeru, apa sahaja usaha yang menyokong kepada kezaliman, penindasan dan penyelewengan terhadap poligami yang halal perlu disekat dan diambil tindakan keras.
Oleh: Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar adalah Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan PensyarahFakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) &
Dr. Nur Saadah Khair adalah Exco Exco Kajian Islam & Hadis WAFIQ dan Pensyarah Fakulti Quran dan Sunnah, USIM