Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengesahkan beliau negatif Covid-19 selepas menerima keputusannya pagi ini.

”Semalam saya menjalani ujian saringan RT-PCR dan telah menerima keputusannya pagi ini. Saya bersyukur kerana disahkan NEGATIF COVID-19,” katanya menerusi akaun Instagram.

Walau bagaimana pun, Ka Siong akan meneruskan kuarantin kendiri dan bekerja dari rumah kerana tiga orang rakan Jemaah Menteri telah disahkan positif Covid-19.

Sebelum ini, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Rina Harun disahkan positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan di hospital.

Ka Siong turut mendoakan semoga mereka cepat sembuh.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini memberitahu, semua menteri Kabinet telah menjalani ujian saringan Covid-19, dengan tiga daripadanya disahkan positif.

Tanpa mendedahkan nama mereka yang positif, Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memberi rawatan kepada mereka di fasiliti sedia ada.

“Semua yang kita uruskan untuk buat saringan Covid-19 telah dilakukan dan kita akan beri rawatan kepada tiga jemaah menteri yang disahkan positif Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 Kementerian Kesihatan di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast