Kento Momota. Foto NOOREEZA HASHIM, 04 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota disahkan positif Covid-19 pada Ahad lalu, umum Persatuan Badminton Jepun.

Persatuan itu turut memaklumkan bahwa semua pemain Jepun menarik diri daripada menyertai Terbuka Thailand pada bulan ini.

“Momota disahkan positif ujian coronavirus dan persatuan mengambil keputusan tidak menghantar seorang pun pemain termasuk Momota ke Thailand,” kata seorang pegawai badan induk badminton Jepun.

Momota dijangka membuat penampilan semula di pentas antarabangsa di Bangkok selepas berehat hampir setahun susulan kemalangan kenderaan yang menyebabkan dia mengalami kecederaan serius.

Stesen penyiaran kebangsaan Jepun, NHK berkata, pemain berusia 26 tahun itu diuji positif di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita sebelum pasukan Jepun berlepas ke Thailand.

Seorang daripada pegawai persatuan itu mengesahkan tiada seorang pun daripada 22 pemain Jepun lain yang diuji didapati positif namun semua ahli pasukan menarik diri.

Minggu lalu, Momota memenangi Kejohanan Kebangsaan Seluruh Jepun dalam pertandingan pertamanya sejak terbabit kemalangan pada Januari 2020 apabila kenderaan yang membawanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas memenangi Malaysia Masters terbabas dan menyebabkan pemandunya terbunuh. – MalaysiaGazette