Gelagat Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz selepas mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan darurat adalah satu bentuk pengakuan bahawa Perdana Menteri itu sudah hilang sokongan majoriti dalam Parlimen.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Muhyiddin bukan sahaja hilang majoriti bahkan beliau sudah kalah kepada keyakinan ahli Parlimen UMNO terhadap beliau dalam Perikatan Nasional (PN).

“Apabila dia (Muhyddin) memohon untuk darurat, bermakna dia telah membuat pengakuan bahawa dia sudah kalah dan dia juga sudah tidak ada majoriti.

“Bagi saya ia adalah langkah logik diambil Muhyiddin bahawa dia sudah kalah dan tiada majoriti,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Terdahulu Muhyiddin dalam perutusan khas yang disiar secara langsung di media arus perdana pada jam 11 pagi tadi memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan untuk melaksanakan darurat di negara ini sehingga 1 Ogos ini.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri juga menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan apabila pandemik Covid-19 dapat dikawal dengan baik.

“Sebaik sahaja dengan adanya darurat ini, maknanya sebaik saja kita dapat kawal Covid-19, ini sudah dekat dengan pilihan raya,” katanya.

Katanya, langkah melaksanakan darurat itu juga merupakan tindakan sama yang pernah dilakukan Muhyiddin dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini.

“Saya samakan apa yang dibuat ini macam PRK Batu Sapi, PRK Grik dan PRN Sabah

“Tujuan diminta darurat kerana tidak boleh buat pilihan raya kecil ini, maka minta darurat, samalah dengan ini.

“Sekarang ini bila dia hilang majoriti, dia kena buat pilihan raya di seluruh negara,” katanya.

Mohamed Nazri turut menyindir Muhyiddin bahawa beliau tidak boleh selamanya mengelak daripada hakikat bahawa pilihan raya perlu diadakan selepas ahli Parlimen Pagoh itu hilang sokongan Parlimen.

“Tidak lari gunung dikejar, hilang kabut tampak lah dia.

“Kau boleh lari dan lari dan kau tak boleh berlari sepanjang masa, saya akan pastikan tunggu.

“Saya beri jaminan buat PRU15, BN menang, kita akan bodek rakyat kaw-kaw,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bertaubatlah. Hanya Allah yg tahu apa yg telah engkau lakukan. Allah juga tahu lakunan engkau dan anak engkau.

Comments are closed.