Pelajar IPT perlu kekal berada di kampus. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Operasi institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sepanjang Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah kekal seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.

Para pelajar antarabangsa dibenarkan masuk ke kampus kecuali dari United Kingdom seawal 1 Januari 2021 dan pelajar tempatan seawal 1 Mac 2021.

Manaka semua pelajar yang telah berada di kampus perlu kekal di kampus masing-masing dan mengikuti pembelajaran secara hibrid.

Bagi pelajar lain, pembelajaran bagi semua program pengajian diteruskan dengan pembelajaran secara dalam talian sehingga tamat PKP.

KPT berkata, peperiksaan antarabangsa dan badan profesional adalah dibenarkan dijalankan di kampus dan pelajar-pelajar berkeperluan seperti latihan klinikal, peperiksaan profesional, makmal, studio, amali atau akses internet dan seumpamanya adalah dibenarkan.

Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak IPT bagi membolehkan pelajar yang berkeperluan memohon kebenaran merentas negeri atau daerah untuk pulang ke kampus daripada pihak berkuasa.

Semua aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal adalah dibenarkan melalui kebenaran Ketua Jabatan dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Sementara pelajar luar kampus yang menjalani aktiviti penyelidikan perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus dari IPT masing-masing.

Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal.

Menurutnya, para pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/ 6949/ 6623/ 6124, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing. – MalaysiaGazette