Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mencuba mengendali jentera potong padi ketika lawatan ke sawah padi di Jalan Parit 1, Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, semalam.

KUALA LUMPUR – Pembangunan Sabak Bernam akan dilakukan seiring dengan daerah lain, demi keperluan penduduk.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, selain pertanian, industri agro pelancongan dilihat sesuai untuk dimajukan berikutan nilai aset alam yang berkualiti tinggi yang dimiliki negeri itu.

“Jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu merancang dengan teliti bagi pembangunan ini.

“Tambah pula dengan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) akan siap.

“Maka, perancangan terbaik perlu dibuat daripada sekarang supaya tidak terlambat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dataran Patriotik.

Terdahulu, Amiruddin merasmikan Bazaar Dorani Perdana yang menempatkan penjaja barangan basah dan makanan. Beliau  turut melawat Perpustakaan Awam Daerah Sabak Bernam.

Sepanjang lawatan kerja itu, Amirudin turut berkesempatan melawat sawah padi di Parit 1 Setengah, Sungai Haji Dorani, ladang ayam di Parit Sembilan Gambut, Sungai Panjang dan tapak Projek Smart Selangor Pekan Bagan Terap yang akan menempatkan peniaga secara berpusat. – MalaysiaGazette