Industri kawalan keselamatan swasta diberikan kebenaran beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman premis.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Industri kawalan keselamatan swasta diberikan kebenaran beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman premis.

Kata satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), ia merupakan salah satu tindakan memperkasakan penugasan semua agensi barisan hadapan di bawahnya bagi tujuan penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan rakyat Malaysia.

KDN akan memantau syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang beroperasi dalam masa yang sama tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ketidakpatuhan yang dapat dikesan.

“Selain itu, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman premis-premis yang dibenarkan beroperasi, Industri Kawalan Keselamatan Swasta diberikan kebenaran untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP dengan
mengambilkira pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata KDN menerusi kenyataan yang sama.

Untuk maklumat lanjut mengenai kebenaran beroperasi bagi Industri Kawalan Keselamatan Swasta dalam tempoh perintah-perintah kawalan pergerakan, hubungi Bahagian Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri di talian 03- 8886 8064.-MalaysiaGazette