Bangunan Kementerian Pengangkutan Malayisa (MOT) di Putrajaya.
KUALA LUMPUR – Pemilik kenderaan perdagangan tidak perlu mendapatkan surat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan bagi operasi pengangkutan, memadai hanya dengan mendapat surat pengesahan daripada majikan masing-masing.
Langkah ini bagi memastikan memastikan kelangsungan aktiviti perdagangan dan sektor logistik yang berhubungkait dengan pengoperasian pengangkutan terus beroperasi dengan lancar dan selamat.
Malah, tiada sekatan untuk kenderaan perdagangan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri mulai hari ini hingga 26 Januari.
MOT berkata,  laluan khas akan disediakan di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR) dan pemandu kenderaan perdagangan hanya perlu mengemukakan surat pengesahan majikan untuk beroperasi jika diminta oleh pihak berkuasa.
Bagi syarikat-syarikat sektor logistik yang lain (contohnya seperti freight forwarders, operator gudang) yang berdaftar dengan persatuan masing-masing, surat kebenaran daripada MOT boleh diperolehi dari persatuan masing-masing.
Surat Kebenaran daripada MOT dan bukti keahlian persatuan perlu disertakan sekiranya diminta oleh pihak berkuasa manakala bagi syarikat yang tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan, surat kelulusan daripada MOT boleh dipohon menerusi pautan
https://application.mot.gov.my/. – MalaysiaGazette