Peniaga,Rahmat Md Nor bersama pembantunya, Azizah Said melakukan persiapan perniagaan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama Wilayah Bebas Berniaga di Taman Melati, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Penjaja di bawah inisiatif Wilayah Bebas Niaga masih boleh menjalankan perniagaan dalam tempoh darurat, kata Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka perlu mematuhi ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Dalam tempoh dharurat..penjaja di WILAYAH PERSEKUTUAN boleh terus menjalankan perniagaan dan lesen terus di beri percuma..Cuma saya minta patuhi SOP dan arahan PBT KKM dan pihak berkuasa..kita bantu membantu dan BERSAMA PERANGI Covid-19,” ciapnya di Twitter.

Perintah Pelaksanaan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan bermula hari ini sehingga 26 Januari 2021.

Sementara itu, Annuar memohon kerjasama daripada warga Wilayah Persekutuan untuk terus berada di rumah sepanjang dua minggu pelaksanaan PKP.

“Usah keluar rumah kecuali atas perkara SANGAT PERLU,terutama kanak kanak,orang tua,dan yang uzur. Trend penularan adalah membimbangkan. Dengan kawalan pergerakan WABAK dapat dibendung,” tambahnya. – MalaysiaGazette