Gambar hiasan.

LABUAN – Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) meminta kerajaan mempertimbangkan beberapa kelonggaran bagi membantu komuniti usahawan dan peniaga susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta langkah kawalan pergerakan lain di seluruh negara.

Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, PERDASAMA turut menyenaraikan lima perkara yang mampu meringankan beban kewangan peniaga iaitu melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman/pembiayaan; pengurangan atau menghapuskan yuran lesen perniagaan, memberi bantuan modal perniagaan, menurunkan tarif bulanan elektrik serta pengurangan bayaran bulanan langganan internet.

“PERDASAMA sentiasa menyambut baik sebarang langkah kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 serta usaha membantu usahawan dan berharap agar perkara di atas dapat dipertimbangkan.

“Implikasi beban kewangan yang ditanggung oleh komuniti peniaga juga harus diambil kira dalam usaha mengawal penularan pandemik menerusi pelaksanaan semula PKP selain kawalan pergerakan lain,” katanya.

Selain itu, PERDASAMA turut menyanjung tinggi keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan cadangan kerajaan mengenai pembentukan jawatankuasa bebas dianggotai ahli-ahli Parlimen kerajaan, pembangkang serta pakar kesihatan untuk mengesyorkan jika tempoh pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

Presidennya Mejar (B) Datuk Abdull Rahim Saad juga meminta usahawan agar tidak bimbang atau panik berhubung langkah darurat itu kerana aktiviti perniagaan dan ekonomi masih dibenarkan seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.- BERNAMA