Gambar hiasan

SHAH ALAM – Selangor akan melaksanakan majlis akad nikah menerusi sidang video sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa agama.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, bakal pengantin perlu memohon janji temu akad nikah daripada Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) atau pengurusan terlebih dahulu.

“Pendaftaran akad nikah akan dilakukan di Paid manakala pengantin, wali dan dua saksi pula berada di rumah,” katanya  menerusi kenyataan.

Menurut Mohd Shahzihan, Jais membuka 10 kaunter talian telefon di One Stop Centre Bangunan Sultan Idris Shah untuk urusan nikah, cerai dan rujuk.

Sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan juga boleh diemailkan ke [email protected]. Hotline Penguatkuasaan dibuka bermula 8.00 pagi hingga 12.00 malam

PKP dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula hari ini sehingga 26 Januari. -MalaysiaGazette