Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjalan keluar selepas menghadiri pada Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Bukanlah sesuatu yang mengejutkan membaca kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong pengisytiharan darurat, kononnya bagi mengekang Covid-19 yang ‘semakin mengganas’, sambil menyindir individu yang tidak dinamakan untuk ‘menghentikan politiking tidak berkesudahan.’

Kenyataan berbaur kesombongan kuasa ini mengesahkan bahawa pihak-pihak tertentu terdesak menyelamatkan kuasa rapuh sambil meremehkan derita rakyat yang kini terhimpit akibat tindakan-tindakan bermotif politik demi menyelamatkan kerajaan tanpa majoriti ini.

Sambil meninggalkan rakyat terkapai-kapai mendepani tekanan hidup tanpa sebarang pelan sosioekonomi tuntas, hari demi hari rejim pengkhianat ini terus merobek rakus sisa-sisa demokrasi yang menjadi asas negara bangsa ini.

Abdul Hadi akan terpahat dalam helaian sejarah sebagai pemimpin parti Melayu-Islam kebanggaannya yang bersekongkol dengan pengkhianatan keji ini.

Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, jika Abdul Hadi lupa, rakyat sedia mengingatkan bahawa ‘politiking tidak berkesudahan’ ini telah dicetuskan akibat perbuatan tangan-tangan Abdul Hadi sendiri, bersama sekutu-sekutu politiknya yang mengheret negara ke kancah kemusnahan dan kehancuran institusi semak dan imbang bermula dengan Langkah Sheraton.

”Di manakah Hadi dan majoriti mereka yang kini menjadi Menteri, pada akhir Februari 2020 iaitu tatkala kepimpinan negara semasa pentadbiran PH pada waktu itu dan barisan hadapan negara serta rakyat sedang bergelut berdepan gelombang pertama wabak ini?

”Rakyat dan kita semua tidak pernah lupa bahawa individu sebenar adalah Hadi. Bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim; yang berada di Sheraton bagi membincangkan agenda pengkhianatan menjatuhkan kerajaan sah dipilih rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-14!,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau yang juga Ketua Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional mempersoalkan berapa lama negara dalam vakum kepimpinan setelah mandat rakyat dirampas dalam tempoh pandemik dan inilah sebenarnya malapetaka ‘politiking tidak berkesudahan’ yang membelenggu negara, yang kini cuba diletakkan kesalahan oleh Abdul Hadi ke atas Anwar dan PH.

Aiman menambah, rakyat juga sedia mengimbas kembali jika Abdul Hadi mengalami ingatan jangka pendek akan rampasan kuasa melalui politik jual beli sokongan di Sabah oleh Perikatan Nasional (PN) sehingga runtuhnya kerajaan negeri. sekali gus mendesak Pilihan Raya Negeri diadakan, seterusnya mengundang gelombang ketiga wabak Covid-19 di seluruh negara.

”Nah, siapakah sebenarnya yang berpolitik tidak berkesudahan, PN atau PH?,” soal beliau.

Tambahnya, ancaman Covid-19 tiba-tiba mendapat perhatian presiden parti Melayu-Islam berstatus Duta Khas Timur Tengah ini, sedangkan menteri-menteri dan rakan-rakan sekutunya sendiri terpalit dengan episod-episod pelanggaran SOP serta kegagalan menjalani kuarantin kendiri.

Ini termasuk menteri dari partinya yang telah menggagalkan usaha-usaha barisan hadapan negara menangani penularan wabak ini.

Pada saat kuasa politik PN terselamat dengan penggantungan sementara Parlimen dan Dun, usahlah Abdul Hadi gusar dengan perbahasan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri daripada PH.

”Fakta yang jelas terang lagi bersuluh adalah bahawa Perdana Menteri rejim PN hari ini telah kehilangan majoriti dengan penarikan sokongan beberapa Ahli Parlimen PN sendiri.

”PN hakikatnya telah gagal teruk mengemudi negara di dalam krisis kesihatan dan krisis ekonomi, bahkan menjadi asbab utama dan berterusan kepada tercetusnya krisis politik paling parah dalam sejarah negara,” ujar beliau.

Dakwaan Abdul Hadi bahawa pihak lawan berpecah belah dan Anwar tidak dapat mengumpulkan jumlah mencukupi amat melucukan, sedangkan kesatuan rejim pengkhianat sendiri terumbang-ambing dibadai defisit sokongan dan keyakinan rakan-rakan sendiri, tetapi terus berselindung di sebalik pengisytiharan darurat ini.

”Adalah sangat jijik dan jelik apabila menggunakan pandemik Covid-19 bagi menyelamatkan krisis kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Parlimen.

“Kesepakatan Pakatan Harapan kekal utuh didasari kerjasama yang melangkaui survival politik jangka pendek, serta tidak sesekali akan memperjudikan nasib rakyat. PH yang diterajui Anwar terus komited menjunjung Demokrasi Berparlimen dan reformasi institusi, dengan sokongan dan mandat rakyat walau dalam situasi mencabar kini,” tambahnya.

Beliau turut meminta Abdul Hadi waspada dalam bahtera yang sedang dilayarinya sendiri, takut-takut ada yang sedang menebuk lubang, jangan ada pepat di luar runcing di dalam. Tangan di depan bersalam, tangan di belakang memegang belati.

Tambahan pula, kata Aiman, rakyat yang cintakan demokrasi tidak akan pernah lupa, dan tidak akan mengaku kalah menentang kebobrokan pemimpin-pemimpin yang gila dan kemaruk kuasa termasuk Hadi. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Senator Aiman Athirah Al Jundi l bekas ahli PAS INI lupa…dan rakyat sedia mengingatkan bahawa ‘politiking tidak berkesudahan’ ini telah dicetuskan akibat perbuatan tangan-tangan PAKATAN HANCING sendiri, bersama sekutu-sekutu politiknya yang mengheret negara ke kancah kemusnahan dan kehancuran institusi semak dan imbang bermula dengan pergeseran TUN MAHATHIR dan ANWARFIKUN yg meratapi bila nak jadi pm hingga bermain nombor EKOR dan KEPALA hingga sekarang ///

    Lعَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ” إِنْ شِئْتُمْ أَنْبَأْتُكُمْ عَنِ الإِمَارَةِ، قَالُوا: وَمَا هِيَ؟ قَالَ: أَوَّلُهَا مَلامَةٌ، وَثَانِيهَا نَدَامَةٌ، وثَالِثُها عَذَابٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، إِلا مَنْ عَدَلَ

    “Daripada ‘Auf bin Malik. Bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Jika kamu mahu aku akan ceritakan kepada kamu berkenaan kepimpinan. Sahabat menjawab; “Apakah ia (ya Rasulullah) Baginda bersabda;“ (Jawatan kepimpinan itu) awalnya adalah saling salah menyalah, peringkat keduanya penyesalan dan peringkat ketiga azab pada hari kiamat. Melainkan orang (pemimpin) yang adil.”
    Asuhan itu melekat dalam hati ahli-ahli PAS.

  2. Firman Allah:

    وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

    “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

    Kerana kecenderungan kami yang amat sangat kepada perdamaian dan persaudaraan, makanya kami tidak menaruh curiga terhadap rakan-rakan Ta’awun kami. Jadinya kami tak kecoh, kami tak kelam kabut dan tak resah pun dengan apa pun perkembangan dalam parti rakan kami. Kami yakin Allah itu Maha Mendengar lagi Mengetahui. Allah pasti akan bantu dan tolong kami kalaupun ada usaha mengkhianati kejujuran kami. Bukankah itu janji Allah:

    وَإِن يُرِيدُوا أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّـهُ ۚ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ

    “Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.”

Comments are closed.