Seorang gelandangan menadah tangan berdoa selepas membaca kitab suci Al-Quran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 NOVEMBER 2017

DALAM Islam, tiada ruang sedikitpun untuk kita merendah-rendahkan apatah lagi menghina manusia yang lain. Sama ada hati, lisan atau perbuatan, tindakan menghina orang lain adalah tindakan yang ditentang di dalam Islam.

Perlu dipasakkan dalam minda kita ketika bermuamalah dengan setiap manusia,
bahawa pangkat, darjat, kemasyhuran, kekayaan dan pengaruh tidak membuatkan
seseorang itu lebih mulia berbanding manusia yang lain.

Bahkan dalam al-Quran dan hadith banyak menceritakan tentang kelebihan dan
keistimewaan golongan yang sebaliknya itu, iaitu dari kalangan orang miskin, lemah, tidak berpengaruh, tidak penting dan dipandang hina oleh kebanyakan orang.

Pernah berlaku satu kisah di zaman nabi, ketika nabi duduk bersama sahabat,
melintas seorang lelaki di hadapan mereka. Maka nabi bertanya sahabat pendapatnya
tentang lelaki tadi.

مَا رَأْيُكَ فِي هَذَا

Maksudnya: "Apa pandangan kamu tentang lelaki ini?"
Maka sahabat itu menjawab:

رَجُلٌ مِنْ أَشْرَافِ النَّاسِ هَذَا وَاللَّهِ حَرِيٌّ إِنْ خَطَبَ أَنْ يُنْكَحَ وَإِنْ شَفَعَ أَنْ يُشَفَّعَ
Maksudnya: "Lelaki ini dari golongan mulia (terpandang/bangsawan). Demi Allah, apabila dia meminang, pasti akan dinikahkan, dan apabila dia meminta bantuan pasti akan dibantu!".
Nabi terdiam.
Kemudian melintas pula seorang lelaki yang lain dihadapan mereka. Nabi bertanya
kepada sahabat, apa pula pandangan mereka terhadap lelaki kedua yang baru berlalu
sebentar tadi. Maka sahabat itu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا رَجُلٌ مِنْ فُقَرَاءِ الْمُسْلِمِينَ هَذَا حَرِيٌّ إِنْ خَطَبَ أَنْ لَا يُنْكَحَ وَإِنْ شَفَعَ أَنْ لَا يُشَفَّعَ وَإِنْ قَالَ أَنْ لَا يُسْمَعَ

Maksudnya: "Wahai Rasulullah, pemuda ini adalah orang miskin dari kalangan kaum
muslimin, apabila ia meminang sudah pasti pinangannya ditolak, dan jika meminta
pertolongan dia tidak akan ditolong, dan apabila berkata, katanya tidak akan didengari!"
Nabi SAW lantas bersabda:

هَذَا خَيْرٌ مِنْ مِلْءِ الْأَرْضِ مِثْلَ هَذَا
Maksudnya: "Orang ini (lelaki kedua), lebih baik daripada seluruh isi bumi termasuk orang tadi (lelaki pertama)" (Hadith riwayat al-Bukhari, no. 4071, 5966, 6447).

Ya, zahirnya kita di dunia ‘suka’ berdamping dengan orang-orang yang terkenal, popular, beradaberpengaruh kerana mengharapkan tempias kebaikan, motivasi, kemasyhuran bahkan mungkin kekayaan mereka. Tidak mengapa.

Raikan fitrah manusiawi ini selari dengan agama, selagi mana tujuan dan caranya baik.
Namun jangan sesekali kita melupai, apatah lagi menyisihkan golongan manusia yang
sebaliknya, yang dipandang ‘biasa-biasa’ oleh kebanyakan manusia, yang dipandang hina pula oleh sesetengah darinya.

Ini kerana, selain kedudukan golongan ini mulia di sisi Allah dan rasul-Nya, mereka
juga mempunyai kelebihan yang khusus di dunia ini. Apakah kelebihan mereka? DOA-DOA
mereka.

Ya doa dari golongan yang dilihat miskin, tidak dipandang manusia, tidak dikenali,
tidak dirasakan penting dan ‘tidak berguna’ ini. Cari dan raihlah doa-doa daripada mereka.

Dalam satu riwayat yang lain ada menceritakan perihal golongan ini. Seorang yg
digambarkan nabi sebagai tidak terurus persis sang pengemis atau si gila, berkeliaran dari rumah ke rumah, namun apabila bersumpah atas nama Allah, pasti permintaannya
dimakbulkan. Hadithnya berbunyi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رُبَّ أَشْعَثَ مَدْفُوعٍ بِالْأَبْوَابِ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ
لَأَبَرَّهُ
Maksudnya: "Dari Abu Hurairah RA bahawa RAW bersabda: "Adakalanya orang yang rambutnya kusut masai, diusir ketika mengetuk pintu-pintu rumah orang, namun apabila dia berdoa / bersumpah atas nama Allah, pasti Allah akan perkenankannya." (Hadith Riwayat Muslim, no.4754 & 5094)

Hadith ini memberi gambaran dan pengajaran yang sangat berguna dalam hidup kita
seharian. Imam Nawawi meletakkan hadith ini dalam kitabnya Riyadh al-Solihin pada bab
"Mengutamakan orang Islam dari kalangan orang lemah, miskin dan tidak dikenali"

(باب فضل
ضعفة المسلمين والفقرا والخاملين).
Kemudian dalam hadith yang lain, nabi pernah menceritakan tentang keutamaan
golongan ini terhadap kita semua. Nabi SAW bersabda: إِنَّمَا يَنْصُرُ اللَّهُ هَذِهِ الأُمَّةَ بِضَعِيفِهَا بِدَعْوَتِهِمْ وَصَلاتِهِمْ وَإِخْلاصِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan menolong umat ini dengan sebab orang-orang yang lemah dari mereka, iaitu dengan doa, solat dan keikhlasan mereka.” (Hadith Riwayat al-Nasai, no. 3179)

Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mesyarahkan hadith ini, menukilkan penjelasan dari
Ibnu Batthal yang menyatakan:

تأويل الحديث أن الضعفاء أشد إخلاصا في الدعاء، وأكثر خشوعا في العبادة لخلاء قلوبهم عن التعلق
بزخرف الدنيا ” .ولذلك أوصى النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ في أحاديث كثيرة بالرحمة بالفقراء
والضعفاء،

Maksudnya: “Tafsir hadith ini bahawa orang-orang lemah lebih ikhlas dalam berdoa dan
lebih khusyu’ dalam ibadah karana hati mereka sangat sedikit bergantung dengan
kesibukan urusan dunia. Karana itu nabi SAW berwasiat dalam banyak hadith agar berkasih sayang kepada orang yang miskin dan lemah.” (Fath al-Bari 6/89)

Jika selama ini kita hanya beranggapan doa orang yg dikenali seperti rakan-rakan,
guru-guru, ustaz-ustazah, malah ibubapa kita ada ‘nilai’ di sisi Allah. Maka yakinlah bahawa di sana doa golongan yang tersisih dan terasing ini juga mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi-Nya.

Tidak mustahil dari kalangan mereka wujud golongan yg kedudukannya sangat tinggi
dan bernilai di sisi Allah, sehingga doanya dimakbulkan. Baik si peminta sedekah. si
pengemis, si miskin, si pelarian, si cacat, bahkan si gila.

"BERI ATAU PERGI, JANGAN MAKI!"

Mungkin ada dari kalangan kita sering berdepan dengan golongan ini, lalu muncul di
benak fikiran kita seperti, "Ini si kotor!", "Ini lakonan sahaja!", "Ini pemalas!", “"Ini sindiket rasanya!", “ramai lagi nak derma!" dan sebagainya.

Ya, tidak dinafikan, ini adalah sebahagian refleksi akal yg normal dalam situasi-
situasi tertentu. Cara menguruskan perasaan itulah yang akhirnya menentukan tindakan kita seterusnya betul atau salah.

Ketika ini hanya ada DUA sahaja pilihan, sama ada BERI, atau ‘PERGI’. Maksudnya jika mahu memberi, berilah seikhlas hati. Jika tidak mahu memberi, cukuplah kita beredar membawa diri, tanpa kita ‘beri’ kata-kata yg menyakitkan hati.
Allah SWT berfirman:

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ

Maksudnya: "Dan terhadap orang yang meminta-minta, maka janganlah kamu
mengherdiknya." (Al-Dhuha, 10). Berdasarkan ayat ini, bukan sekadar memaki hamun, mengherdik (mengeraskan suara) kepada golongan ini pun di larang oleh Allah SWT (Berbeza jika nasihat atau menyiasat dengan cara baik, dibolehkan, bahkan dlm sesetengah keadaan, ini lebih utama!)

Maka, selain bersikap kasar terhadap golongan ini dilarang Allah, tindakan ini juga
dibimbangi menyebabkan mereka menadah tangan mendoakan pula keburukan terhadap
kita, dlm keadaan tiada hijab antara doanya dengan Allah SWT. Na’uzubillahi min zaalik.

Nasihat untuk diri ini terutamanya dan kita semua, cari dan raihlah ucapan "semoga
Allah luaskan rezeki anda" (sekadar contoh) dari semua manusia, dari orang-orang soleh, dari orang yang kita kenal atau tidak kenal, termasuk dari kalangan si miskin, si ‘kotor’, si pengemis dan sebagainya. Jangan sesekali terhadkan doa-doa sebegini hanya dari kalangan orang yang dikenali, bagus cara perwatakan dan pemakaiannya semata-mata.

Boleh jadi, kita dimurahkan rezeki selama ini atau akan datang, asbab doa-doa
mereka. Mudah-mudahan Allah tunjukkan kita jalan yang benar. Wallahu’lam.
Semoga bermanfaat.

Muaz Mohd Noor
Pensyarah,
Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS),
Universiti Teknologi MARA (UiTM),
Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah