Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 623 kluster telah dilaporkan termasuk tujuh kluster baharu hari ini, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, jumlah kluster yang telah tamat adalah sebanyak 347 kluster termasuk satu kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Huma di Kelantan.

Jelas beliau, ia menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 276 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 78 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Beringin sebanyak 177 kes serta Kluster Sungai Putus dan Kluster Pasai yang masingmasing melaporkan sebanyak 157 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut adalah perincian senarai tujuh kluster baharu haru ini.

1. KLUSTER JALAN SELAYANG
Kluster tempat kerja melibatkan daerah Gombak, Selangor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula semalam hasil saringan bersasar di sebuah pasar raya. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes dalam kluster ini dilaporkan berlaku iaitu di sebuah pasar raya di Jalan Selayang Baru. Sehingga hari ini, sejumlah 511 individu telah disaring, di mana 84 kes telah dikesan positif.

2. KLUSTER TROPIKA
Kluster melibatkan daerah Johor Bahru, Johor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 9 Januari lalu hasil saringan tahanan dan kontak rapat di sebuah pusat tahanan. Nama kluster merujuk kepada lokaliti tempat kes-kes yang dilaporkan iaitu di Jalan Setia Tropika, Johor Bahru. Sehingga hari ini, sejumlah 116 individu telah disaring, di mana 55 kes telah dikesan positif.

3. KLUSTER PASIR BARAT
Kluster tempat kerja melibatkan daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi di Johor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 21 Disember lalu hasil saringan bersasar yang dijalankan secara berperingkat di sebuah tapak projek di Pasir Gudang. Sehingga hari ini, sejumlah 781 individu telah disaring di mana 92 kes telah dikesan positif.

4. KLUSTER TAPAK BINA DUTAMAS
Kluster tempat kerja melibatkan daerah Kepong di Kuala Lumpur. Dua kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-139,748 dan kes ke-139,749) telah dilaporkan positif pada 12 Januari lalu hasil saringan individu-individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana keskes dalam kluster ini dilaporkan berlaku iaitu di sebuah tapak binaan di Jalan Dutamas Raya, Segambut, Kuala Lumpur. Sehingga hari ini, sejumlah 91 individu telah disaring di mana 18 kes telah dikesan positif.

5. KLUSTER JALAN PAHANG
Kluster melibatkan daerah Kepong, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Cheras di Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-130,168) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Januari lalu hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes dalam kluster dilaporkan berlaku iaitu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Jalan Pahang. Sehingga hari ini, sejumlah 57 individu telah disaring di mana enam kes telah dikesan positif.

6. KLUSTER JALAN RANTAU-SILIAU
Kluster tempat kerja melibatkan daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 10 Januari lalu hasil saringan
bersasar di sebuah kilang. Nama kluster merujuk kepada lokaliti tempat kerja kes-kes yang dikesan positif iaitu di Jalan Rantau–Siliau, Bandar Sri Sendayan, Siliau, Negeri Sembilan. Sehingga hari ini, sejumlah 508 individu telah disaring di mana 96 kes telah dikesan positif.

7. KLUSTER INTAN MAS
Kluster ini melibatkan daerah Hilir Perak, Perak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-130,767) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Januari lalu hasil saringan individu
bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks yang beralamat di Taman Intan Emas, Teluk Intan, Perak. Sehingga hari ini, sejumlah 55 individu telah disaring di mana 15 kes telah dikesan positif. – MalaysiaGazette