A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Walaupun darurat sudah memasuki hari keempat tetapi Jawatankuasa Khas Bebas bagi mengendali perjalanan darurat masih belum ditubuhkan.

Wartawan veteran, Datuk A.Kadir Jasin berkata, dalam kefahamannya, apabila negara dalam darurat semua tindakan kena cepat

”Bukan macam tarian zapin yang lemah gemalai tapi macam cha cha cha atau rumba yang pantas dan cergas.

”Di sinilah Jawatankuasa Khas yang dijanjikan itu boleh berfungsi sebagai badan bertindak tertinggi dengan kepakaran dan bidang kuasa yang luas. Ia juga boleh mengambil alih peranan kawal selia Parlimen yang telah digantung,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas tindakan lambat Kementerian Kesihatan dalam mengendalikan satu keluarga di Bukit Gasing, Petaling Jaya yang disahkan positif Covid-19.

”Kalau berita yang dilampirkan ini benar, apa guna darurat, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan segala tok nenek SOP bersabit dengan wabak Covid-19 ini? Bukankah darurat bertujuan memberi kuasa dan kemudahan kepada kerajaan mengawal wabak ini dengan lebih cepat dan berkesan tanpa halangan dan gangguan?,” ujarnya.

Kata beliau, sepatutnya tanpa gangguan politik dan dengan kuasa darurat yang luas, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai peluang yang lebih besar kepada gerak kerja yang berkesan.

Menurut beliau, jika jadi benar sistem kesihatan awam terbeban tapi bukankah kerajaan mempunyai kemudahan kesihatan sampingan seperti Kor Perubatan Tentera yang boleh digerakkan untuk tugas-tugas sivil.

Malah, kerajaan boleh tukar guna hospital-hospital tentera dan berek-berek untuk merawat pesakit Covid-19 atau membuka kemudahan perubatan tentera kepada orang awam untuk rawatan biasa.

Kalau kurang kenderaan seperti ambulans, kerajaan boleh melakukan “requisition” ke atas aset perubatan swasta dan persendirian.

”Dalam kefahaman saya, inilah kegunaan darurat iaitu bagi memudah dan mempercepatkan tindakan mengawal dan menghapuskan Covid-19,” ujarnya sambil mempersoalkan kalau masalah yang sama terus berlaku dan keupayaan memerangi wabak ini tidak bertambah baik, jangan salahkan rakyat jelata jika mereka membuat kesimpulan bahawa darurat ini untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional semata-mata. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Disini baru nampak otak pak kadir ni bersambung dan berpungsi ..sebetulnya begitulah darurat …tak kira lah dalam bentuk istilah apa pun .

  2. Ni baru betul tokoh wartawan yang bijak…dah bersambung balik rasanya sel2 otak…teruskan hujah2 yg bijak pak kadir bukan hujah yang syok sendiri.

  3. KAMI RAKYAT RAYU PADA YDPA untuk mengambil tindakan pada ANWARFIKUN serta MP2 serta orang awam yang termakan dengan Hasutan menolak TITAH DARURAT. dilucut jawatan MP@Warganegara
    Amat malang jika ada yang masih sombong dan cuba untuk menangguk di air keruh serta gagal memahami perit getir rakyat berdepan dengan wabak COVID-19 dan kesempitan hidup dalam tempoh sukar ini……Jawatankuasa Khas Bebas bagi mengendali perjalanan darurat masih belum ditubuhkan tuk kadir kena tanya pd majlis P unah H arapan diketuai anwarfikun/ mahfuz yg berdolak dalik dn menghasut DARURAT dibatalkan. mereka sentiasa TIDAK KERUAN..buat baik pun salah dn buat tidak baik lagi salah.

Comments are closed.