Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang Datuk Seri yang disyaki mencabul anak perempuannya lebih sedekad.

Suspek ditahan di rumahnya di Taman Kosmo Jaya di sini pada jam 3 petang selepas mangsa yang berusia 20 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam kerana tidak tahan menjadi mangsa kepada ayahnya itu.

Seorang sumber mendedahkan kepada MalaysiaGazette bahawa mangsa yang juga seorang penuntut itu mendakwa menjadi mangsa cabul dan gangguan seksual suspek sejak 10 tahun lalu.

Katanya, suspek melakukan perbuatan terkutuk itu ke atas mangsa ketika dia berusia 10 tahun dan ia dilakukan di kediaman mereka.

“Mangsa mendakwa kali terakhir diganggu bapanya di ruang tamu pada 9 Januari lalu sekitar jam 11.45 malam semasa hendak tidur di biliknya.

“Remaja (mangsa) sering diganggu suspek dengan alasan mukanya mirip wajah arwah ibunya,” kata sumber itu.

Difahamkan, suspek akan memasuki bilik mangsa dan setelah menyedari mangsa sudah tidur dia akan terus memeluk, mencium serta memasukkan jari pada bahagian sulitnya.

Menurut sumber itu, suspek juga didakwa tidak akan menjaga kebajikan dan keperluan harian mangsa dan adik-beradiknya jika mesej serta panggilannya tidak dilayan.

“Suspek juga telah mengaut segala harta yang ditinggalkan arwah ibu mangsa.

“Mangsa juga dikatakan telah cuba memberitahu masalah gangguan ini kepada arwah ibu ketika masih hidup namun tidak dipercayai dakwaan anaknya, dan mangsa tidak tergamak untuk mencetuskan pergaduhan dan perpecahan dalam keluarga.

“Selain itu, mangsa juga mendakwa dia dan adik beradiknya pernah dipukul suspek,” ujarnya.

Difahamkan, mangsa membuat laporan polis bagi melindungi dirinya daripada suspek yang dipercayai akan bertindak agresif. -MalaysiaGazette