Seorang lelaki bergelar Datuk dan rakannya ditahan reman kerana disyaki terlibat dalam kes pukul serta ugut terhadap seorang lelaki di sebuah restoran di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 JANUARI 2021.

PETALING JAYA – Dua lelaki termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman dua hari bermula hari ini hingga esok bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam kes pukul serta ugut terhadap seorang lelaki, Selasa lalu.

Peritnah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Perkara itu disahkan sendiri oleh peguamnya, Datuk Suraj Singh yang mewakili seorang Datuk dan rakannya itu.

Terdahulu suspek yang dilihat memakai baju berwarna putih bersama seorang rakannya dibawa keluar dengan diiringi dua anggota polis dari bilik reman, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, kira-kira 11.35 pagi tadi.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan menyatakan kedua-dua suspek berusia 39 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.40 petang di Mutiara Damansara, semalam.

Artikel berkaitan: ‘Datuk’ dan rakannya pukul pelanggan restoran dicekup

Dalam kejadian di sebuah restoran di Tropicana Avenue, Persiaran Tropicana, di sini, Selasa lalu, insiden dipercayai berpunca apabila suspek ditegur oleh seorang pelanggan yang duduk di meja bersebelahan kerana bercakap dengan nada tinggi.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati suspek pertama iaitu lelaki bergelar Datuk itu mempunyai rekod lampau membabitkan ugutan jenayah dan mendatangkan bencana, dua tahun lalu.

Fadzil membuat permohonan reman bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan termasuk mengenal pasti latar belakang suspek, selain kemungkinan penglibatan mereka dalam kongsi gelap.

Terdahulu, polis memburu seorang lelaki selepas sebuah rakaman video berdurasi 29 saat menunjukkan lelaki itu memukul seorang pelanggan di sebuah restoran, tular sejak dua hari lalu.

Kedua-dua suspek itu kini disiasat mengikut Sekysen 323/503/506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette