Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR  – Sebuah restoran di Presint 9, Putrajaya, bank di Jalan Kota, Taiping dan sebuah masjid adalah antara 12 kluster baharu Covid-19 yang dikenal pasti pada hari ini.

Kesemua kluster itu dikesan di lapan negeri iaitu dua di Selangor, Johor (3), Sabah (2), dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Kelantan, Perak, Melaka dan Putrajaya.

Kemunculan 12 kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini sebanyak 635 kluster dengan jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 351 kluster, termasuk empat kluster hari ini iaitu Kluster Bah Medan, Kluster
Jalan Dalam, Kluster Nibong, dan Kluster Dermaga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 284 kluster.

Katanya, daripada itu sebanyak 85 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini manakala kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Bukit Pasir (171 kes), Kluster Tapak Bina Damai (130 kes), dan Kluster Beringin (112 kes).

Katanya, Kluster Jalan Telok Gong dikesan di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang di daerah Klang dan kes positif dikesan pada 14 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah kilang yang mana 191 disaring dan 108 daripadanya positif

“Kluster kedua adalah Lingkaran Lintang iaitu asrama pekerja kilang di Lingkaran Sultan Hishamuddin dan Lintang Sultan Mohamad 1B, Pelabuhan Klang yang mana kes positif dikesan bermula 3 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah kilang, sehingga kini sejumlah 205 individu telah disaring dan 25 kes telah dikesan positif.

“Kluster ketiga iaitu Persiaran Selatan melibatkan sebuah tapak binaan di Persiaran Southkey Johor Bahru yang mana kes positif dikesan bermula hari ini hasil saringan bersasar dan setakat ini 209 individu telah disaring dan 61 kes telah disahkan positif Covid-19.

“Manakala kluster keempat iaitu Kluster Jalan Kluang pula merujuk kepada melibatkan lokaliti kilang di daerah Batu Pahat yang mana kes indeks ke-137341 telah dilaporkan positif
pada 11 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dan saringan ke atas kontak rapat di tempat kerja kes indeks mendapati seramai 17 lagi individu dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster berkenaan, ujarnya, setakat ini sejumlah 42 individu telah disaring dan 18 kes telah dikesan positif.

Tambah beliau, kluster kelima dikesan di Masjid Kampung Perani, Bandar Sri Perani, Kota Tinggi, Johor membabitkan kes indeks ke-110214 dikesan positif pada 30 Disember lalu hasil saringan individu bergejala dan setakat ini 81 individu telah disaring dan 18 daripadanya positif Covid-19.

Menurut Dr. Noor Hisham, kluster keenam iaitu Ladang Baturong di Kunak Sabah yang berpunca daripada majlis keraian tertutup dan seterusnya merebak kepada pekerja yang tinggal di perumahan pekerja Ladang IOI Baturong 3, Kunak yang mana kes indeks ke-131469) telah dilaporkan positif pada 9 Januari lalu hasil saringan di tempat kerja.

Ujar beliau, setakat ini sejumlah 1,625 individu telah disaring dan 54 kes daripadanya telah dikesan positif Covid-19.

Katanya, kluster ketujuh iaitu Ladang Matamba pula dikesan di Lahad Datu, Sabah apabila kes positif dilaporkan bermula 6 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah ladang dan setakat ini sejumlah 89 individu telah disaring yang mana 20 kes telah dikesan positif.

“Kluster Tapak Bina Damai pula dikesan di tempat kerja Alam Damai di Cheras Kuala Lumpur yang mana kes positif dikesan bermula pada hari ini hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan sementara sejumlah 161 individu telah disaring yang mana 130 kes daripadanya positif.

“Kluster Pondok Hidayah dikesan di Batu 31, Machang Kelantan yang mana kes indek ke-138166 merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dan telah dilaporkan positif Covid-19 pada 11 Januari lalu yang mana setakat ini 100 individu disaring dan 15 daripadanya positif.

“Kluster Kota Road pula dikesan di sebuah institusi Bank di Jalan Kota, Taiping dikesan di daerah Kinta dan Larut, Matang dan Selama di Perak iaitu kes indeks ke-133240 telah
dikesan positif pada 9 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dan sehingga sekarang 54 individu telah disaring dan 18 kes dikesan positif,” ujarnya.

Dr. Noor Hisham berkata, Kluster Tembok Kemus pula dikesan di pusat tahanan Penjara Satelit A’Famosa di Alor Gajah Melaka iaitu kes positif dikesan bermula semalam menerusi hasil saringan terhadap tahanan di penjara itu dan setakat ini 151 individu telah disaring dan 22 kes sah positif.

Kluster Restoran Putra pula melibatkan sebuah restoran di Presint 9, Putrajaya menyaksikan kes indeks ke-120817 merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) yang dikesan positif pada 4 Januari lalu dan setakat ini seramai 29 individu telah
disaring dan 19 kes daripadanya sah positif, ujarnya. _ MalaysiaGazette