Penyunting Video, Mohd Izzat Hasim bekerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Damansara Perdana, Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 22 OKTOBER 2020

MENDEPANI  cabaran pandemik COVID-19 bukan hanya memberi kesan terhadap
kesihatan fizikal, tetapi juga mental seseorang individu. Dalam sedar, ia juga sangat
memberi kesan terhadap peredaran ekonomi negara yang bergantung sepenuhnya
kepada pelbagai sektor dan bidang demi kemajuan negara.

Menurut Akta Pengurusan Pertukarang Asing 1999, Prosedur Operasi Standard atau SOP bermaksud satu panduan yang menhelaskan secara terperinci bagaimana suatu proses harus dilaksanakan. Dalam hal ini, SOP yang sudah tidak asing lagi di mata rakyat sudahpun menjadi satu norma dalam kehidupan seharian terutamanya ketika berada di luar. Pemakaian penutup muka serta catatan suhu untuk memasuki sesebuah premis atau menghadiri sesuatu majlis juga sudah dianggap satu perkara biasa yang perlu dilakukan dan bukan lagi menjadi satu masalah bagi rakyat Malaysia.

Ini berbeza dengan keadaan prosedur apabila bekerja dari rumah. Bagi amalan dalam dunia kerja, SOP adalah petunjuk bagi pegawai untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan standard yang telah ditetapkan oleh organisasi. Agensi Perlindungan Alam Persekitaran (2001) mendefinisikan SOP sebagai serangkaian instruksi yang menggambarkan pendokumentasian dari kegiatan yang dilakukan secara berulang pada sesebuah organisasi. Dalam erti kata lain, SOP yang sesuaiperlu apabila berada dalam keadaan bekerja dari rumah bagi melaksanakan tugas dengan efisien.

SOP yang betul tidak digunapakai apabila hilang sifat jujur dan amanah dalam diri. Jika ada di antara pekerja yang merasakan sukar untuk melaksakan tugas semaksimum mungkin dari rumah, segelintir lagi boleh dilihat cuba mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain. Cabaran sebegini boleh juga disebabkan oleh faktor-faktor yang berada di sekeliling individu tersebut.

Sebagai pekerja, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk tahu dan sedar tentang matlamat serta objektif yang perlu dicapai oleh organisasi. Disebabkan itu, SOP yang tepat sangat perlu bagi situasi yang tidak dapat dielakkan seperti wabak COVID-19 yang
sedang melanda kini. Sementara semua pihak sedang cuba menyesuaikan diri dengan norma baharu ini, sebagai pekerja yang berdedikasi dan bertanggungjawab perlu menjaga etika serta amalan disiplin yang kuat dalam menghadapi situasi yang menjadi luar kebiasaan ini.

Berkemungkinan, SOP yang sesuai perlu diwujudkan bagi membantu pekerja untuk lebih yakin dan selesa dalam melaksanakan tugas dari rumah. Ini kerana, situasi di tempat kerja adalah sangat berbeza berbanding dengan keadaan di rumah terutamanya yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Bagi meningkatkan lagi sifat bertanggungjawab, antara perkara yang diperlukan adalah kebolehcapaian pekerja pada waktu bekerja di mana seseorang pekerja itu tiada halangan untuk dihubungi. Pemerkasaan tentang kestabilan talian Internet dan telekomunikasi pada waktu sukar sebegini seharusnya dipertingkatkan bagi mengurangkan dan seterusnya mengelakkan masalah tidak dapat dihubungi.

Ini termasuk juga dengan penyediaan perkakasan atau aplikasi yang sesuai dengan norma sesuatu pekerjaan. Ini kerana apabila timbul sesuatu masalah, alasan sebegini dapat dielakkan terutamanya apabila dunia kini telah masuk ke fasa Revolusi Perindustrian Keempat atau IR 4.0 di mana teknologi yang ada perlu selari
dengan keperluan semasa.

Dalam usaha untuk menyesuaikan diri dan keadaan semasa, semua pihak seharusnya cuba bersama-sama untuk menggembleng tenaga untuk memberikan komitmen sepenuhnya supaya kesan yang tidak baik akan dapat dikurangkan atau dielakkan terus daripada kesilapan yang telah cuba digunakan. Terutamanya apabila berkaitan dengan pematuhan SOP yang tidak hanya berkaitan dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial, tetapi juga SOP yang sesuai dengan suasana bekerja yang di luar tempat kerja yang kebiasaannya dilakukan dari rumah.

Secara tidak langsung, sikap integriti perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa dalam menyesuaikan diri dalam mendepani cabaran pandemik ini terutamanya apabila dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. Demi memastikan penjagaan kesihatan dari segi mental dan fizikal, berkemungkinan, adalah perlu untuk bermula dengan mewujudkan SOP untuk diri sendiri supaya dapat menjadi seorang pekerja dan rakyat yang bersifat jujur, amanah dan berintegriti dalam sama-sama membantu negara untuk terus berkembang dan maju.

Dr. Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai