Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan sumbangan kepada para penerima pada Misi Bantuan Banjir Parlimen Pekan di Dewan Orang Ramai Felcra Seri Makmur, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 16 JANUARI 2021.

PEKAN – Badan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan sukarelawan yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang diingatkan supaya mengenal pasti keperluan penduduk sebelum menghantar bantuan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bagi memastikan bantuan itu boleh dimanfaatkan sepenuh mangsa banjir, bagi mengelakkan lambakan bantuan yang tidak diperlukan.

“Kebanyakan kawasan terjejas dalam Parlimen Pekan sangat memerlukan bekalan air mineral, biskut, mee segera, beras, tuala, cecair dan pembasmi kuman.

“Kita pesan kepada sesiapa yang nak beri sumbangan supaya apa-apa yang mereka berikan itu menepati keperluan penduduk di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Paloh Hinai, hari ini.

Terdahulu Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menyalurkan sumbangan berupa barang keperluan kepada 47 keluarga dan 167 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Taman Selasih, di sini.

Dalam pada itu, Najib juga mengingatkan pasukan sukarelawan dari luar Pahang untuk menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan jangkitan wabak itu tidak merebak di kawasan banjir dan PPS.

“Kita minta mereka (pasukan misi bantuan banjir) buat saringan supaya mereka tidak menjangkiti penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Najib melahirkan rasa kagum dengan kecekapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mampu menyiapkan Bailey Bridge dalam tempoh singkat.

“Ada kampung yang terpaksa pindah kerana air naik rumah dan ada juga kampung yang terputus hubungan seperti Kampung Seri Makmur.

“Saya telah minta pada Kementerian Pertahanan supaya meluluskan pembinaan sebuah Bailey Bridge dan ia telah dilaksanakan dalam masa rekod dua hari saja siap.

“Hari ini kampung itu tak putus lagi hubungan dan memberi nafas baharu kepada penduduk-penduduk di sana,” katanya

Beliau juga berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan Pejabat Khidmat Parlimen Pekan kepada mangsa banjir yang terjejas sampai pada masanya.

“Ketika saya melawat di Kampung Belimbing, saya lihat bahawa bantuan berjalan dengan baik termasuk di Kampung Paloh Hinai ini, bukan sekali tapi beberapa kali.

“Bukan sahaja pihak saya tapi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga bagi bantuan.

“Bila kita bertindak kita selaras, bantuan-bantuan yang diperlukan memang sampai kepada mereka yang menjadi mangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette