Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini didakwa tidak tegas, tidak effektif dan tidak akan mencapai matlamat kerana terlalu banyak kelonggaran diberikan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, kilang-kilang dan sektor pembinaan yang merupakan penyumbang paling besar kepada gelombang ketiga Covid-19 dibenarkan beroperasi.

Malah kedai emas, kedai pakaian dalam mewah, pusat beli-belah dan gedung perabot juga dibuka.

Oleh itu, katanya, ramai yang berpendapat bahawa PKP kali ini langsung tidak nampak seperti PKP.

Bekas perdana menteri itu mengingatkan, jika kerajaan tidak bertegas, ada kemungkinan tempoh PKP selama 14 hari ini tidak dapat mencapai matlamat untuk melindungi sistem kesihatan dan menurunkan kes aktif Covid-19.

”PKP selama 140 hari pun belum pasti cukup jika terus diberikan begitu banyak kelonggaran. Sebab itu, matlamat utama PKP kali ini sepatutnya ialah untuk memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh.

”Untuk memastikan kerajaan masih mampu memberi rawatan sewajarnya kepada setiap warga yang sakit,” katanya yang bertegas bahawa PKP kali ini perlu lebih ketat untuk dua minggu pertama supaya kita boleh melindungi sistem kesihatan negara.

Najib berkata, beliau sakit hati dengan laporan pesakit yang disahkan positif Covid-19 tetapi tidak lagi dihubungi Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM juga, katanya, tidak lagi mampu membuat saringan ke atas semua kontak rapat pesakit positif Covid, hanya kontak rapat yang ada gejala akan diuji.

Jelas beliau, kerajaan yang tidak lagi mampu memberi khidmat rawatan kepada mana-mana warga negara yang sakit adalah sebuah kerajaan yang telah gagal.

Oleh sebab itu, tegas beliau, biarlah keadaan negara ‘perit’ untuk dua minggu pertama agar sistem kesihatan dan barisan hadapan terpelihara agar PKP tidak perlu dilanjutkan secara berulang-ulang.

Lagipun, itu merupakan tugas utama sebuah kerajaan untuk memastikan setiap warganya selamat – terutama dari segi kesihatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setuju, sepatutnya 14 hari pertama ini kerajaan perlu tegas, mana-mana sektor yang tertinggi covid sebelum ini perlu di rehatkan urusan perniagaan mereka.

Comments are closed.