Deretan kereta bagi mengambil ayam beku yang disumbangkan oleh Pemuda UMNO di Presint 9, Putrajaya semalam.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Putrajaya yang bertindak sebagai penganjur program edar ayam beku percuma dikenakan kompaun oleh polis selepas berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata, kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

“Polis telah menerima maklumat awal berkenaan program ini dan mengeluarkan surat memaklumkan pihak penganjur bahawa program ini tidak mendapat kelulusan  IPD Putrajaya.

“Ini memandangkan Wilayah Persekutuan Putrajaya berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menguatkuasakan undang-undang sepanjang PKP.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi segala arahan dan SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi tujuan membendung seterusnya memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini.

Program pengedaran ayam beku percuma itu berlangsung di Putrajaya dibuat secara pandu lalu dengan konsep “first come first serve” dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas akibat kehadiran ramai orang di lokasi program.

Program itu dikatakan berlangsung bermula 4 petang hingga 6 petang terhad kepada 1,000 penerima sahaja.

Program edar ayam beku itu mengundang kecaman warganet di media sosial apabila tular gambar ramai yang hadir pada program itu.

Mohd Fadzil berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menguatkuasakan undang-undang sepanjang PKP. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Lambat lagi nak adakan PRU, sudah tidak boleh nak ikut SOP. Macam mana ni. Kalau iya pun hendak kempen, tunjuklah cara yang betul.

Comments are closed.