Seorang kanak-kanak menjual pelitup muka pada orang awam bagi membendung penularan wabak Covid-19 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Ingkar memakai pelitup muka masih merekodkan kesalahan paling banyak iaitu 182 daripada 472 kes kesalahan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Jumlah itu hasil penguatkuasaan Pasukan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 472, seramai 457 telah dikompaun manakala 15 direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (182), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (85), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (66), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (65), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (32) dan lain-lain (42), katanya menerusi kenyataan di sini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam Op Benteng semalam dan empat buah kenderaan turut ditahan.

Selain itu sebanyak 444 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam yang melibatkan pecahan Op PENAWAR (ATM, PDRM dan RELA) sebanyak 378 SJR, Op BENTENG PDRM (57 SJR) dan Op BENTENG AKSEM (9 SJR).

Manakala empat buah tapak binaan didapati tidak mematuhi SOP daripada 22 yang diperiksa di seluruh negara semalam.

Satu daripadanya telah diarah tutup.

Untuk rekod, sejak 20 April 2020 sehingga 15 Januari 2021, sebanyak 14,359 jumlah pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 8,132 tapak binaan di seluruh negara.- MalaysiaGazette